Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. - Apabila serangan jantung berlaku, peluang untuk hidup ditentukan dalam tempoh beberapa minit, bukannya beberapa jam.
Malahan, ia bergantung pada keupayaan individu yang berada berdekatan untuk mengenal pasti kecemasan tersebut, memulakan tekanan dada dan mendapatkan defibrilator serta pasukan terlatih yang bersedia untuk mengambil alih tindakan menyelamatkan nyawa.
Setiap tindakan ini merupakan satu rangkaian dalam kesinambungan rantaian kelangsungan hidup (chain of survival). Jika salah satu rangkaian lemah, nyawa mungkin terkorban. Namun, jika setiap rangkaian kukuh, nyawa seseorang berpeluang untuk diselamatkan.
Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif selaku tetamu kehormat menekankan demikian dalam ucapannya pada pelancaran Persidangan Resusitasi Kebangsaan 2026 (National Resuscitation Conference 2026) yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, di sini.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD) jelasnya lagi, data tempatan menunjukkan bahawa lebih tujuh daripada setiap 10 kes serangan jantung berlaku di luar hospital. Dalam keadaan sedemikian, peluang untuk menyelamatkan nyawa seseorang bergantung terlebih dahulu kepada individu yang berada berhampiran.
Dr. Hajah Rafidah seterusnya berkata, orang awam di tempat kejadian hanya mampu memulakan rantaian kelangsungan hidup. Tanggungjawab untuk meneruskan dan melengkapkan proses tersebut terletak pada tenaga kerja penjagaan kesihatan kita.
“Oleh itu, latihan yang mencukupi, penyediaan peralatan yang bersesuaian serta pematuhan terhadap piawaian yang jelas kepada mereka amat penting dalam usaha menyelamatkan nyawa,” ujarnya lagi.
Acara diteruskan dengan pelancaran persidangan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Persidangan Resusitasi Kebangsaan 2026 berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan, melalui Unit Pembangunan dan Pemantauan Resusitasi (Resuscitation Development and Monitoring Unit-RDMU), dengan kerjasama Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association-AHA).
Persidangan berkenaan menandakan pelaksanaan Garis Panduan AHA 2025 bagi Resusitasi Kardiopulmonari (Cardiopulmonary Resuscitation- CPR) dan Penjagaan Kardiovaskular Kecemasan di NBD.
Kira-kira 250 doktor, jururawat, paramedik, dan profesional kesihatan bersekutu daripada kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta telah menyertai persidangan tersebut.
Persidangan tersebut diikuti dengan ucapan daripada Ketua RDMU, Dr. Linawati binti Haji Jumat, merangkap Pengerusi Saintifik persidangan berkenaan.
Seterusnya, diikuti dengan rakaman ucaptama daripada Naib Presiden Kanan bagi Perniagaan Antarabangsa di AHA, Gareth Patrickson.
Kemudian diteruskan dengan syarahan ucaptama yang bertajuk ‘Hands That Save : From First Compression to Recovery’ yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Penulis Garis Panduan Sokongan Hayat Lanjutan (Advanced Life Support) dan penulis utama Garis Panduan AHA 2025 bagi Sokongan Hayat Lanjutan, Dr. Jane G. Wigginton.
Turut hadir sebagai ahli panel antarabangsa ialah Pengarah Pendidikan dan Kualiti AHA bagi rantau Asia Pasifik dan Republik Rakyat China, Dr. Neil Huerbin.
Semasa majlis tersebut, tetamu kehormat majlis juga menyampaikan cenderamata penghargaan kepada para penceramah dan moderator.
Seramai lapan petugas kesihatan turut diberikan penghargaan atas inisiatif mereka memberikan bantuan CPR ketika di luar waktu bertugas bagi menangani tiga kejadian serangan jantung yang berasingan. Insiden-insiden tersebut berlaku di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, pada Oktober 2026, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada Mei 2026 dan semasa acara Borneo Half Marathon pada Ogos 2025.
Selepas majlis perasmian, tetamu kehormat majlis juga berkesempatan mengadakan lawatan ke reruai pameran yang mengetengahkan demonstrasi praktikal kemahiran yang diajar dalam kursus-kursus resusitasi anjuran Kementerian Kesihatan serta pameran daripada rakan kongsi industri dan persatuan-persatuan profesional.
Program saintifik tersebut merangkumi perbincangan mengenai kes serangan jantung di luar dan di dalam hospital, perkembangan utama yang diperkenalkan dalam Garis Panduan AHA 2025 serta kaedah resusitasi bagi kanak-kanak, wanita hamil dan situasi-situasi khusus yang lain.
Dr. Neil Huerbin turut menyampaikan perkongsian mengenai latihan kepada penyedia penjagaan kesihatan dan pelaksanaan garis panduan yang telah dikemas kini.
Sesi pleno penutup menampilkan perbincangan panel pakar yang bertajuk ‘Membina Negara yang Bersedia untuk Melakukan Resusitasi: Tanggungjawab Bersama Semua Pihak’ (Building a Nation Ready to Resuscitate: All Hands on Deck).
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; dan Pengerusi Resuscitation Updates 2026 dan Pengerusi Lembaga Resusitasi Kebangsaan, Dr. Hajah Lailawati binti Haji Jumat; Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Pengiran Dr. Hajah Siti Nasibah binti Pengiran Haji Ismail, merangkap Timbalan Pengerusi Resuscitation Updates 2026 serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kesihatan.
Persidangan berkenaan merupakan sebahagian daripada Resuscitation Updates 2026, yang akan diteruskan dengan Program AHA Paediatric Advanced Life Support Faculty Development yang bermula dari 16 hingga 19 November 2026.