Berita dan Foto : Ihsan Majlis Hassanal Bolkiah Pekan Tutong
TUTONG, Ahad, 27 September. - Sebagai salah satu acara sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Program Bicara Belia diadakan hari ini di Ruang Utama Solat Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Hazwan Nizam bin Ibrahim, disusuli dengan tilawah Al-Quran oleh Abdul Quddus Hafiyuddin bin Haji Shaharol Annuar dan terjemahan oleh Awang Amir Hamzah bin Muhammad Faizul Azman, ahli belia Ibadurrahman MHBPT.
Ceramah bertajuk ‘Hati Yang Hidup, Hidup Yang Bererti’ disampaikan oleh Penceramah Undangan iaitu Pensyarah School of Business and Economics, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Haji Muhammad Iznan bin Haji Tarip.
Antara pengisian yang diketengahkan adalah kesihatan rohani dan kebersihan hati, akhlak dan keperibadian yang baik.
Beliau juga menegaskan bawa para belia perlu istiqamah dalam beramal ibadah, menghidupkan hati dan qalbu, dengan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala seperti melazimkan membaca Al-Quran, berzikir dan berselawat serta berdoa setiap hari.
Di samping itu para belia juga perlu membina jati diri dalam menghadapi cabaran kehidupan, mempunyai wawasan dan tahap kepimpinan yang mantap, menjauhi sifat malas, lalai dan tidak terus berada dalam zon selesa.
Dalam suasana perkembangan teknologi dan digital masa kini, media sosial hendaklah digunakan secara berhemah dan dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah. Para belia juga perlu sentiasa menjaga ‘Hablum Minallah’ (hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala) dan ‘Hablum Minannas’ (hubungan dengan sesama manusia).
Program tersebut dihadiri oleh Majlis Perwakilan Pelajar institusi pengajian tinggi, Ahli Jawatankuasa Takmir, kumpulan muslimah, Kumpulan Belia dan Beliawanis Ibadurrahman serta para jemaah MHBPT dan orang ramai.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan oleh tetamu kehormat majlis dan seterusnya penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis oleh Awang Amir Hamzah bin Muhammad Faizul Azman selaku Ketua Belia Ibadurrahman MHBPT.
Sementara itu, Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun MHBPT dibukakan untuk kunjungan selama tiga hari berturut-turut sejak perasmian Sambutan Jubli Intan MHBPT sehingga hari ini Ahad, 27 September 2026.
Sementara itu jualan ‘Food Truck’ peniaga-peniaga tempatan juga beroperasi sehingga jam 5.00 petang bertempat di Kawasan Letak Kereta Pejabat Hal Ehwal Ugama Tutong.
Berbagai program serta aktiviti akan terus diadakan bagi mengimarahkan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun MHBPT di sepanjang tahun ini. Ini termasuklah Forum Perdana pada bulan Ogos lalu, aktiviti Riadah ‘Fun Run’, Bengkel Wuduk, Program Belia, Kempen Kebersihan dan lain-lain yang telah diadakan sejak awal tahun 2026.
MHBPT telah dirasmikan pada 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (yang pada ketika itu bergelar Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).
MHBPT yang merupakan masjid utama di Daerah Tutong, bukan sahaja dihasratkan sebagai sebuah tempat beribadat tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat dan tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.