Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Juraini Udan (PENJURU)
JERUDONG, Isnin, 28 September. - Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) menganjurkan Seminar Kejururawatan dan Perbidanan bertajuk ‘Caring for the Caregiver: Mental Health in the Intensive Care Unit and the Emergency Department’, yang memberi tumpuan kepada kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan jururawat dan petugas kesihatan yang berkhidmat di persekitaran klinikal bertekanan tinggi.
Seminar yang berlangsung di Golden Village Hotel, Jerudong, hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai cabaran kesihatan mental yang dihadapi oleh para profesional kesihatan, khususnya mereka yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Jabatan Kemalangan dan Kecemasan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah.
Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah dalam ucapannya berkata, tema seminar berkenaan amat bertepatan dengan isu semasa yang dihadapi oleh jururawat, bidan dan petugas kesihatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, petugas yang berkhidmat di kawasan ‘high dependency’, ICU serta Jabatan Kemalangan dan Kecemasan sering berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar yang boleh memberikan kesan terhadap kesihatan mental mereka.
“Tema ini juga menekankan betapa pentingnya peranan kejururawatan dalam menangani situasi di tempat kerja, yang mana mereka sendiri terpaksa berhadapan dengan kerenah dan perilaku yang berbeza, yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan semasa menjalankan tugas,” ujarnya.
Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah turut menegaskan bahawa bidang kejururawatan merupakan satu kerjaya yang dinamik dan mencabar serta memerlukan para jururawat dan bidan untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi keperluan masyarakat.
“Bidang kejururawatan merupakan kerjaya yang paling dinamik dan mencabar pada masa kini dan wajib mengikuti perkembangan semasa demi memberikan perkhidmatan yang dikehendaki masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah seterusnya menekankan kepentingan perancangan yang rapi serta sokongan berterusan kepada petugas kesihatan, khususnya dalam menghadapi perubahan dalam perkhidmatan, perkembangan sains perubatan dan keperluan kesihatan semasa.
Jelasnya, pihak yang berwajib mempunyai tanggungjawab untuk memastikan jururawat dan bidan dilengkapi dengan kemahiran serta latihan khusus supaya mereka lebih bersedia menghadapi situasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan mental ketika bertugas.
“Pihak yang berwajib bertanggungjawab dalam mempersiapkan jururawat dan bidan supaya kemahiran mereka dipertingkatkan melalui latihan yang khusus, agar mereka diberikan sokongan yang sewajarnya bagi menghadapi situasi yang menggugat kesihatan mereka,” ujarnya.
Seminar berkenaan turut menampilkan dua panel yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penjagaan kecemasan dan rawatan rapi iaitu Pemangku Pegawai Jururawat, Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, Dayang Hajah Siti Norsharihamdinah binti Haji Awang Besar dan Jururawat ICU, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Mohd Izzuddin Fitri bin Haji Abdul Razak sementara Setiausaha I PENJURU, Dayang Hajah Salmah binti Haji Mohd Noor sebagai pengerusi sesi seminar.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan Yang Dipertua PENJURU serta sesi perkongsian dan perbincangan bersama panel.
Acara kemudiannya diakhiri dengan sesi soal jawab terbuka, sesi ramah mesra serta bergambar ramai.
Penganjuran seminar berkenaan diharap dapat memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan jururawat, bidan dan petugas kesihatan, di samping menggalakkan budaya saling menyokong dalam menghadapi cabaran tugas serta memastikan mutu perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat terus dipelihara.