Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
TUTONG, Ahad, 27 September. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pagi tadi mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) YSHHB bagi seluruh negara.
Majlis berkenaan diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai, sebagai usaha mendoakan kelancaran dan kejayaan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam pada tahun ini.
Seramai 264 pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen PIP di lapan buah pusat di seluruh negara akan menduduki peperiksaan awam tahun ini.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 167 pelajar akan menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), manakala 49 pelajar pula akan menduduki Peperiksaan BCGCE 'O' Level, sementara 48 pelajar pula akan menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU).
Kelas tuisyen PIP YSHHB memberikan tumpuan kepada mata pelajaran teras bagi membantu para pelajar meningkatkan pencapaian akademik serta memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk memberi peluang yang lebih baik kepada para pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Melalui projek berkenaan, para pelajar berpeluang mengikuti kelas tuisyen secara intensif dan percuma pada setiap Ahad di lapan buah pusat kelas tuisyen PIP di seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, diikuti bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai serta bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Imam Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai, Awang Abdul Khaliq Quysairi bin Ahmad.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan tazkirah bertajuk 'Berjuang Hingga Garisan Akhir' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
PIP merupakan salah satu usaha YSHHB dalam melaksanakan matlamat strategiknya bagi 'Mendukung Pencapaian Pendidikan yang Berkualiti dan Saksama', khususnya dalam membantu meningkatkan mutu pencapaian pendidikan pelajar daripada golongan keluarga yang kurang berkemampuan.
Program berkenaan diharap dapat terus memberikan sokongan kepada para pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik, di samping membantu mereka memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.