Semai kesedaran pentingnya Al-Quran sebagai panduan kehidupan

11 Nov 2026 - 6:13am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Rendah Amar Pahlawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 November. - Dalam usaha memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam serta membentuk sahsiah murid, Sekolah Rendah Amar Pahlawan, Kluster 3 mengadakan Majlis Ilmu bagi Murid Tahun 6 (2026) bertempat di Dewan Laksamana, Sekolah Rendah Amar Pahlawan, baru-baru ini.

Majlis bertemakan ‘Ibrah Luqman : Apabila Seorang Ayah Berbicara Tentang Kehidupan’ itu disampaikan oleh penceramah jemputan dari Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.

Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memberikan pengisian kerohanian serta membimbing murid-murid Tahun 6 agar lebih memahami kepentingan nilai-nilai murni, adab, akhlak dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai generasi muda.

Melalui penghayatan kisah Luqman al-Hakim yang terkandung dalam Surah Luqman, murid-murid didedahkan kepada pelbagai nasihat dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam membentuk keperibadian yang mulia.

Antaranya pengajaran yang ditekankan termasuklah kepentingan mentauhidkan Allah Subhanahu Wata’ala, mendirikan sembahyang, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta mengamalkan sifat sabar dan rendah hati.

Majlis ilmu ini juga diharapkan dapat menyemai kesedaran dalam kalangan murid tentang pentingnya menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan, di samping membentuk peribadi yang beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

Pihak sekolah berharap agar perkongsian ilmu dan nasihat yang disampaikan melalui majlis ini akan memberikan kesan positif kepada murid-murid, bukan sahaja sebagai persediaan menghadapi alam persekolahan seterusnya, malah sebagai bekalan dalam menjalani kehidupan pada masa hadapan.

Sejajar dengan hasrat untuk memperkukuh pendidikan yang seimbang dari segi akademik, kerohanian dan pembentukan sahsiah, pihak Sekolah Rendah Amar Pahlawan juga berhasrat untuk meneruskan penganjuran aktiviti dan majlis ilmu seumpama ini pada masa akan datang sebagai salah satu program pengisian sekolah.

Usaha berterusan ini diharapkan dapat memberikan pendedahan ilmu agama, menyemai nilai-nilai Islam serta membentuk jati diri dan keperibadian murid agar menjadi generasi yang berilmu, beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

Sesungguhnya, kecemerlangan seseorang anak bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, bahkan turut dinilai melalui kekuatan iman, kemuliaan akhlak dan keluhuran adab yang menjadi pedoman sepanjang kehidupan.