Kerjasama semua pihak kunci kejayaan pelan kesihatan

11 Nov 2026 - 6:35am

Oleh: Nooratini Haji Abas

Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 November. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyeru semua pihak berkepentingan agar memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan perkara yang berada di bawah tanggungjawab mereka serta menentukan aktiviti dan sumber yang diperlukan untuk mencapai matlamat bersama.

Kementerian Kesihatan komited untuk memastikan penyelarasan dan akauntabiliti yang kukuh.

Di samping itu, setiap kegiatan utama di bawah BruMAP NCDMH akan mempunyai agensi peneraju atau perkhidmatan yang ditetapkan bagi melaksanakannya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menggesa perkara tersebut semasa berucap pada Majlis Pelancaran Bersama BruMAP NCDMH 2026-2035 dan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Pengurusan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Brunei Darussalam 2026-2035 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d'Seni, di ibu negara, hari ini.

Menurut Yang Berhormat, Pejabat Pengurusan Program BruMAP akan ditubuhkan di bawah Pejabat Setiausaha Tetap untuk menyelaras jawatankuasa pelbagai sektor dan kumpulan kerja teknikal, memantau kemajuan serta melaporkan perkembangan secara berkala kepada Pasukan Petugas Pelbagai Sektor bagi Kesihatan.

Pasukan Petugas Obesiti Kementerian, ujar Yang Berhormat, akan mengawasi Pelan Strategik Obesiti dan memantau kemajuan dalam pencegahan, penyampaian perkhidmatan serta hasil pesakit.

“Sementara itu, Kumpulan Kerja Teknikal Obesiti yang baharu dilantik akan menerajui pelaksanaan pelan tersebut.

“Usaha di bawah kedua-dua pelan negara akan diselaraskan apabila bersesuaian, dengan akauntabiliti yang jelas bagi objektif dan tindakan masing-masing,” tambah Yang Berhormat lagi.

Terdahulu, pelan kedua yang dilancarkan pada hari ini, iaitu Pelan Strategik Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Pengurusan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Negara Brunei Darussalam 2026-2035, jelas Yang Berhormat, memberikan tumpuan khusus kepada berat badan berlebihan dan obesiti.

Yang Berhormat menegaskan, walaupun obesiti diiktiraf sebagai faktor risiko utama NCD dalam BruMAP NCDMH, keadaan ini juga memerlukan strategi khusus kerana sifatnya yang kompleks, skalanya yang besar dan keperluan terhadap langkah pencegahan serta penjagaan berterusan berasaskan bukti.

Pada bulan Mac 2026, Yang Berhormat menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan secara rasmi mengiktiraf obesiti sebagai penyakit tidak berjangkit pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Kali Ke-22.

Pengiktirafan ini, terang Yang Berhormat, mencerminkan perubahan penting: obesiti ialah keadaan yang kompleks dan berbilang faktor, yang dibentuk bukan sahaja oleh tingkah laku individu, bahkan juga oleh persekitaran makanan, peluang untuk melakukan kegiatan fizikal, keadaan sosial dan fizikal, serta akses kepada penjagaan kesihatan.

"Pelan Strategik Obesiti ini menggariskan tiga tonggak utama. Pertama, mengubah sistem kesihatan bagi memperkukuh pencegahan, pengenalpastian awal, pengurusan dan rawatan berat badan berlebihan serta obesiti sepanjang hayat. Ini termasuk menyepadukan pencegahan dan pengurusan obesiti ke dalam penjagaan kesihatan primer rutin, memperkukuh keupayaan tenaga kerja serta mewujudkan laluan rujukan yang lebih jelas.

"Kedua, mewujudkan persekitaran yang menyokong dan memudahkan akses kepada pemakanan sihat serta kegiatan fizikal.

“Ketiga, memperkasa individu, keluarga dan masyarakat dengan pengetahuan, kemahiran dan sokongan yang diperlukan untuk membuat pilihan yang berinformasi dan berkekalan," jelas Yang Berhormat lagi.

Jelas Yang Berhormat, kejayaan pelan-pelan ini bergantung pada pendekatan seluruh negara. Banyak faktor yang membentuk kesihatan terletak di luar sektor kesihatan, termasuk makanan yang kita import dan konsumsi, perancangan bandar, pengangkutan serta persekitaran tempat kita tinggal, belajar dan bekerja.

Kementerian dan agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, institusi akademik, masyarakat dan keluarga, tegas Yang Berhormat, semuanya mempunyai peranan penting.

Maka daripada itu, Yang Berhormat mewakili pihak Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan masyarakat yang telah menyumbang kepada pembangunan pelan ini. Penghargaan yang tidak terhingga juga ditujukan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia atas sokongan teknikal yang berterusan sepanjang proses pembangunan pelan ini, serta kepada pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur atas dedikasi dan kerja keras mereka.