Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, Khamis, 15 Oktober. - Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong (JDT) telah mengeluarkan denda kompaun terhadap sebuah syarikat kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), iaitu atas kesalahan pembuangan sampah sarap secara tidak teratur di kawasan tempat awam.
Syarikat berkenaan ialah Perusahaan Onina Bahagia, didapati melakukan kesalahan berkenaan di Lot 1566, Kampung Sebatang, Luagan Dudok, Tutong dan dikenakan denda kompaun sebanyak BND2,000 (skala besar) di bawah Bab 12(1)(a). Syarikat berkenaan dikehendaki untuk menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa tujuh hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, JDT ingin mengingatkan kepada orang ramai, pihak syarikat pemaju dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.