Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
LAMBAK, Khamis, 15 Oktober. - Seramai 50 ahli Platun Kadet Bulan Sabit Merah dari 10 buah sekolah menengah kerajaan hari ini menerima Sijil Keahlian dan Tauliah Tanda Pangkat Ahli Platun Kadet (Pelajar) Bulan Sabit Merah Senegara sempena Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C).
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD).
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil keahlian dan tauliah tanda pangkat kepada para penerima, Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais.
Majlis berkenaan diadakan bagi memberikan pengiktirafan secara rasmi kepada ahli PBSM NBD melalui penyampaian sijil keahlian rasmi dan pelantikan ke pelbagai pangkat sebagai tanda penghargaan atas komitmen, sumbangan dan kelayakan mereka dalam pasukan berkenaan.
Selain itu, majlis berkenaan juga bertujuan untuk memupuk ciri-ciri kepimpinan, rasa tanggungjawab dan disiplin dalam kalangan pelajar sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Di samping itu, majlis berkenaan turut bermatlamat untuk memperkukuh struktur dan keberkesanan pengurusan pasukan melalui pewujudan sistem pangkat yang jelas dan sistematik.