PPDB adakan muzakarah bersama pemimpin akar umbi Daerah Belait

16 Okt 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

KUALA BELAIT, Khamis, 15 Oktober. - Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengadakan Sesi Muzakarah bersama Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Belait bertempat di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Daerah Polis Belait.

Sesi tersebut dihadiri oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Penguasa Polis Pengiran Abu Naba’abin bin Pengiran Haji Yusof, bersama pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota Daerah Polis Belait, serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari beberapa kawasan di Daerah Belait.

Sesi muzakarah ini bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak polis dengan pemimpin akar umbi, selain menjadi wadah perkongsian maklumat serta perbincangan mengenai isu keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Melalui sesi seumpama ini, komunikasi dua hala antara pihak polis dengan pemimpin akar umbi diharap dapat terus diperkukuh bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan serta menyokong usaha pencegahan jenayah di Daerah Belait.