Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
JERUDONG, Sabtu, 26 September. - Dalam usaha bagi menghimpunkan sebahagian mantan guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Persediaan Inggeris Tutong dan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, satu Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Hari Guru telah diadakan pagi tadi bertempat di salah sebuah restoran di Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang juga berkesudian menyempurnakan majlis perasmian acara berkenaan.
Adapun majlis yang diadakan sebagai tanda mengenang jasa dan budi di samping mengeratkan lagi ikatan silaturahim setelah sekian lama tidak berjumpa juga menjadi wadah untuk para mantan guru dan pelajar di sekolah berkenaan untuk mengimbau kenangan silam yang dilalui bersama-sama satu ketika dahulu.
Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis sebelum diteruskan dengan ucapan Pengerusi Majlis, Awang Haji Roslan bin Datu Hulubalang Haji Abdul Wahab.
Kemuncak acara pada majlis ialah majlis perasmian acara berkenaan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Ahli MMN.
Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Hari Guru 2026 bagi Mantan Guru-guru 70-80 Sekolah Persediaan Inggeris Tutong dan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong berkenaan telah diungkayahkan oleh para pelajar Persediaan Satu 1974 di sekolah berkenaan dengan harapan untuk mengenang jasa guru-guru dan menyambung kembali ikatan persahabatan yang telah terjalin sekian lama.