Siaran Akhbar dan Foto : Aftercare Support Association
SUNGAI AKAR, Khamis, 1 Oktober. - Aftercare Support Association (AFSA) dengan kerjasama Zahara Charity Foundation telah mengadakan Majlis Penandatanganan Surat Perjanjian Program Dermasiswa Peluang Kedua bersama Rakan Seliaan (RS) bertempat di Pejabat Zahara Charity Foundation, Sungai Akar Central, di sini.
Majlis tersebut merupakan satu usaha bersama dalam menyediakan peluang pendidikan dan sokongan kepada RS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, selaras dengan hasrat kedua-dua organisasi dalam membantu meningkatkan potensi diri, kemahiran dan masa depan para penerima program.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub, Presiden Zahara Charity Foundation.
Manakala bagi pihak AFSA, majlis penandatanganan tersebut diwakili oleh Yang Dipertua, Dayang Hajah Juhana binti Haji Mohd. Jaya.
Program Dermasiswa Peluang Kedua ini merupakan satu inisiatif yang memberikan ruang dan peluang kepada RS yang berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Melalui sokongan pendidikan yang disediakan, para penerima diharap akan dapat membina keyakinan diri, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, serta mempersiapkan diri untuk menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Kerjasama antara AFSA dan Zahara Charity Foundation juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh usaha kebajikan dan pembangunan insan melalui pendidikan.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada bantuan dalam bentuk sokongan pendidikan, malah turut membuka ruang kepada penerima untuk membina kehidupan yang lebih baik melalui peningkatan ilmu dan kelayakan akademik.
Kerjasama strategik ini diharapkan dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa akan datang dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang pembangunan diri, pendidikan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Majlis Penandatanganan Surat Perjanjian tersebut menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kedua-dua organisasi untuk memperkasakan RS melalui pendidikan serta memberikan mereka peluang kedua untuk mencapai masa depan yang lebih baik.