Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Pusat Da’wah Islamiah
TEMBURONG, Sabtu, 17 Oktober. - Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), terus mempergiat usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan mualaf di negara ini melalui penyerahan bantuan sebuah enjin generator kepada seorang mualaf di Daerah Temburong.
Penerima bantuan berkenaan ialah Dayang Nur Mazura Saniera binti Besar @ Mazura binti Besar. Majlis penyerahan bantuan diadakan di kediaman beliau di Kampung Lekiun, Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bantuan tersebut ialah Pemangku Penolong Pengarah PDI, KHEU, Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut. Turut hadir, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, PDI, KHEU, Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin.
Penyerahan bantuan berkenaan merupakan antara inisiatif PDI melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf), dengan kerjasama Cawangan Da’wah Daerah Temburong, bagi membantu mualaf yang kurang berkemampuan, khususnya dalam meningkatkan keselesaan dan kualiti kehidupan mereka.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan keprihatinan dan pemedulian berterusan PDI terhadap kebajikan mualaf, di samping menjadi salah satu pendekatan dakwah dalam memperlihatkan keindahan Islam melalui amalan saling membantu dan mengambil berat terhadap kesejahteraan masyarakat.
Selain bantuan enjin generator, PDI turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan lain kepada para mualaf yang memerlukan, antaranya pembinaan dan pembaikan rumah, peralatan persekolahan, enjin mesin rumput, tangki dan pam air serta keperluan asas harian berupa makanan asasi.
Usaha berkenaan diharap akan dapat meringankan beban penerima serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan mualaf di negara ini terus mendapat perhatian sewajarnya.