Menegaskan komitmen negara dalam membanteras pemerdagangan orang

18 Okt 2026 - 7:04am

Siaran Akhbar dan Foto : Jalan Perdana Menteri

LAPU-LAPU CITY, CEBU, REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 17 Oktober. - Delegasi dari Negara Brunei Darussalam (NBD) yang diketuai oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Azree bin Haji Abd. Manaf selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi Anti-Pemerdagangan Orang, disertai oleh seorang pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menghadiri 4th Regional Meeting of Southeast Asian National Anti-Trafficking Committees yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober 2026 di Lapu-Lapu City, Cebu, Republik Filipina.

Mesyuarat tersebut dianjurkan oleh Inter-Agency Council Against Trafficking (IACAT), Republik Filipina dan membawakan tema 'From Shared Concerns to Regional Action : Advancing Awareness and Advocacy Against Trafficking in Persons' sempena Kepengerusian ASEAN Republik Filipina bagi Tahun 2026.

Mesyuarat Serantau ini merupakan platform tahunan bagi penglibatan secara langsung, tidak formal dan berterusan di antarajawatankuasa-jawatankuasa kebangsaananti-pemerdagangan orang Negara-negara Anggota ASEAN yang melengkapi mekanisme ASEAN sedia ada di bawah Konvensyen ASEAN (ASEAN Convention Against Trafficking in Persons, Especially Women and Children, ACTIP).

Berasaskan hasil tiga Mesyuarat Serantau sebelumnya, mesyuarat pada tahun ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesedaran dan advokasi serantau serta mengenal pasti bidang-bidang praktikal bagi kerjasama yang berterusan.

Semasa sesi pembentangan negara, ACP Haji Azree bin Haji Abd. Manaf telah menyampaikan kenyataan NBD yang menekankan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government dalam membanteras pemerdagangan orang.

Beliau menyatakan bahawa pemerdagangan orang bagi tujuan exploitasi buruh kekal sebagai trend utama. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Filipina atas kerjasama erat yang terjalin serta menegaskan semula komitmen NBD terhadap kerjasama serantau dalam membanteras pemerdagangan orang.

Mesyuarat diteruskan dengan pembangunan Kempen Serantau, di mana Negara-negara Anggota ASEAN telah bersetuju secara kolektif ke atas mesej kempen 'One ASEAN, One Action : Stop the Digital Trap. Break the Chains of Human Trafficking' yang memberi tumpuan kepada pencegahan pemerdagangan orang melalui penipuan pengambilan pekerja dalam talian dan eksploitasi yang didorong oleh teknologi.

Mesyuarat diakhiri dengan sesi plenari yang mengimbas semula pandangan-pandangan utama mesyuarat, termasuk mengenal pasti komitmen, bidang-bidang kerjasama dua hala dan pelbagai hala, serta peluang-peluang untuk mengekalkan rangkaian dan kerjasama yang telah dijalin.