Pop Up Shop perkasa keusahawanan belia tempatan

16 Nov 2026 - 5:35am

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

KAMPUNG SALAR, Ahad, 15 November. - Inisiatif penganjuran Pop Up Shop anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor dengan kerjasama GZee Management, membuka ruang dan peluang kepada pengusaha tempatan, khususnya golongan belia, untuk mengembangkan potensi perniagaan serta menjana sumber pendapatan.

Berlangsung selama empat hari, bermula dari 12 hingga 15 November 2026, bertempat di Union Square, Kampung Salar, program berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 13 pengusaha tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan belia dengan mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada orang ramai.

Penganjuran tersebut merupakan antara usaha MPK Kawasan 5 dalam menyokong perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), di samping menyediakan platform kepada para pengusaha untuk memperkenalkan produk, memperluaskan pasaran serta berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.

Lebih daripada sekadar ruang jualan, inisiatif berkenaan turut membawa matlamat untuk menyemarakkan minat golongan belia terhadap bidang keusahawanan, membina keyakinan dalam menguruskan perniagaan serta menggalakkan mereka meneroka peluang ekonomi secara lebih berdikari.

Menariknya, penganjuran Pop Up Shop itu juga memberikan limpahan manfaat dari segi peluang pekerjaan sambilan kepada beberapa individu sepanjang acara berlangsung.

Walaupun bersifat sementara, peluang berkenaan sedikit sebanyak membantu menjana pendapatan tambahan, selain memberikan pengalaman serta pendedahan dalam pengendalian aktiviti perniagaan dan acara jualan.

Usaha seumpama ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan usahawan baharu serta membuka laluan kepada pengusaha tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih luas.

MPK Kawasan 5 turut berharap agar inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai pengusaha tempatan serta sokongan berterusan daripada masyarakat dan komuniti setempat.

Penganjuran itu mencerminkan peranan MPK bukan sahaja sebagai penggerak aktiviti kemasyarakatan, malah sebagai pemangkin pembangunan ekonomi komuniti melalui pembukaan peluang keusahawanan, penjanaan pendapatan dan pewujudan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat setempat.