Persembahan muzik khas serlahkan sokongan terhadap kesejahteraan pesakit JPMC

3 Okt 2026 - 6:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre

JERUDONG, Jumaat, 2 Oktober. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dengan kerjasama Freude Music Group telah menganjurkan persembahan muzik khas untuk para pesakit, penjaga dan profesional penjagaan kesihatan, dengan menggabungkan muzik dan ekspresi seni sebagai salah satu usaha menyokong komitmen JPMC dalam menyediakan Penjagaan Berpusatkan Pesakit (Patient-Centred Care) di samping menggalakkan kesejahteraan dan hubungan dalam komuniti.

Hadir selaku tetamu kehormat pada persembahan tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi JPMC, Neelakannan Periyasamy.

Para pesakit dari The Brunei Cancer Centre (TBCC), Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC) dan Gleneagles JPMC, bersama ahli keluarga serta penjaga mereka, telah dijemput untuk menghadiri acara ini.

Persembahan tersebut menghimpunkan para pelajar dari Republik Korea dan Negara Brunei Darussalam, bersama Guru Rebecca dari Freude Music Studio. Mereka mempersembahkan sebanyak lapan buah karya muzik yang bertujuan memberikan pengalaman yang menceriakan melalui kuasa penyembuhan muzik.

Bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan, masa yang diluangkan di hospital boleh menjadi satu pengalaman yang mencabar dari segi fizikal dan emosi. Muzik dan bentuk ekspresi seni yang lain dapat memberikan detik ketenangan, kegembiraan dan hubungan, di samping menawarkan perubahan yang bermakna daripada rutin rawatan kepada para pesakit.

Pengalaman sedemikian turut memberi makna kepada para penjaga dan profesional penjagaan kesihatan, dengan mewujudkan ruang bersama yang mengetengahkan aspek kemanusiaan dalam penjagaan kesihatan.

Melalui kerjasama dengan Freude Music Group, JPMC berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk seni memperkayakan pengalaman para pesakit sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan mereka.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen JPMC terhadap penjagaan penuh ihsan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada rawatan klinikal, malah turut mengambil kira kesejahteraan emosi dan sosial para pesakit serta individu yang menjaga mereka.