Persahabatan NBD, Republik Türkiye diperkukuh dalam pelbagai bidang

30 Okt 2026 - 7:34am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

GADONG, Khamis, 29 Oktober. - Kedutaan Republik Türkiye di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menganjurkan satu Majlis Resepsi bagi Memperingati Ulang Tahun Ke-103 Penubuhan Republik Türkiye yang berlangsung di Rizqun International Hotel, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr. Dayang Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

Dalam ucapan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Türkiye ke NBD, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy menyatakan bahawa majlis tersebut bukan sahaja memperingati Ulang Tahun Ke-103 Republik Türkiye, malah turut menandakan Ulang Tahun Ke-503 Perkhidmatan Luar Negeri Republik Türkiye serta tahun ke-42 terjalinnya hubungan diplomatik antara Republik Türkiye dengan NBD.

Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy seterusnya menegaskan komitmen Republik Türkiye terhadap keamanan, kerjasama antarabangsa, kemajuan teknologi dan pembangunan mampan.

Menurut TYT Profesor Dr. Hamit Ersoy, persahabatan sekian lama antara Republik Türkiye dengan NBD, diperkukuh melalui Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Türkiye pada Mac 2023, serta rundingan dua hala yang diadakan pada Disember 2024 dan Oktober 2026, telah membuka ruang bagi memperluas kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur.

Pencapaian Republik Türkiye memperoleh status Rakan Dialog Penuh ASEAN pada Julai 2026 turut diketengahkan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh penglibatan Republik Türkiye di Asia Tenggara.

Menurut TYT lagi, penglibatan terkini syarikat teknologi pertahanan Republik Türkiye, termasuk ASELSAN dan HAVELSAN, turut memperlihatkan potensi kerjasama praktikal serta perkongsian teknologi dengan NBD.

Manakala Kursus Bahasa Türkiye, bengkel kebudayaan, seni tradisional, tayangan filem dan program pendidikan terus memainkan peranan dalam memupuk persefahaman serta persahabatan antara rakyat NBD dengan Republik Türkiye. Dalam hal ini, TYT turut menekankan peranan penting Pusat Kebudayaan Turki Yunus Emre di NBD dalam memperkukuh diplomasi kebudayaan.

Mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya selama lebih lima tahun di NBD, TYT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kerajaan baginda dan rakyat NBD, anggota kor diplomatik serta semua rakan kerjasama yang telah menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala.