Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Usaha memperkukuh kepimpinan, kompetensi, pembelajaran sepanjang hayat serta kesiapsiagaan warga Perkhidmatan Awam dalam menghadapi perubahan, termasuk penerokaan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi digital, terus dipertingkatkan.
Ini bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran, perubahan minda serta tatacara berfikir yang diperlukan bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad menyembahkan perkara itu dalam sembah alu-aluan semasa Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-33, Tahun 2026 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Dalam konteks pembangunan kepimpinan, sembah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016 terus berperanan mengenal pasti, membangun dan mempersiapkan pegawai yang berpotensi untuk memegang tanggungjawab kepimpinan.
"Sehingga kini, seramai 1,181 orang pegawai telah dikenal pasti dalam Leadership Pool CSLP. Usaha ini diperkukuh melalui program pembangunan, penempatan dan kerjasama dengan rakan strategik seperti Singapura dan Malaysia, serta pelaksanaan projek penambahbaikan di kementerian dan jabatan bagi melahirkan pemimpin berkaliber dan memperkukuh perancangan penggantian kepimpinan dalam Perkhidmatan Awam," sembah Yang Berhormat.
Sementara itu, sembah Yang Berhormat, usaha ke arah pengukuhan keupayaan digital warga Perkhidmatan Awam turut dapat dilihat melalui perkembangan penyertaan program-program latihan berteraskan teknologi masa kini.
"Berdasarkan statistik Institut Perkhidmatan Awam, penyertaan warga Perkhidmatan Awam dalam kursus-kursus berkaitan ICT, digital dan AI telah meningkat sebanyak 96 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan.
"Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan memperkukuh kompetensi digital, selaras dengan inisiatif Penyediaan dan Pengendalian Kursus-Kursus Digital / ICT di bawah Manpower Blueprint," sembah Yang Berhormat.
Yang Berhormat menyembahkan, transformasi juga menuntut proses kerja yang sentiasa dinilai dan diperbaiki.
Dalam hubungan ini, pelaksanaan Transformasi Sistem Kerja bersama agensi-agensi berkaitan diteruskan bagi memperkemas proses kerja dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
"Usaha ini turut memberikan penekanan kepada penambahbaikan ‘pro-business’, bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang lebih kondusif serta berdaya saing,” tambah Yang Berhormat.
Dalam pada itu, sembah Yang Berhormat, budaya inovasi terus berkembang melalui Anugerah Inovasi Perdana (AIP) pada tahun ini, dengan peningkatan penyertaan kepada 33 kertas projek dari lapan kementerian, berbanding 12 kertas projek dari enam kementerian pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini mencerminkan komitmen agensi-agensi kerajaan untuk terus membudayakan inovasi dalam meningkatkan produktiviti, memperkemas proses kerja serta menghasilkan penyelesaian bagi memenuhi keperluan organisasi, rakyat dan negara.
"Selaras dengan semangat tersebut, Sambutan HPA pada tahun ini turut menampilkan Ceramah Khas dan Forum Khas Perkhidmatan Awam sebagai wadah untuk membincangkan hala tuju masa hadapan, bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan meneroka idea baharu bagi memperkukuh budaya pembelajaran, inovasi dan penambahbaikan dalam Perkhidmatan Awam," sembah Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat dalam sembah alu-aluan, tahun 2026 mempunyai makna yang istimewa kerana menjadi permulaan kepada penghayatan tema baharu, dan dalam masa yang sama membawa kita menuju ke tahun 2027 yang akan menyaksikan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
"Dalam tempoh hampir enam dekad pemerintahan Kebawah Duli Tuan Patik, Perkhidmatan Awam telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan pemodenan, dan akan terus memikul amanah untuk mendukung kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.
"Sehubungan itu, hamba Kebawah Duli Tuan Patik penuh percaya bahawa sambutan pada tahun ini akan terus memperbaharui tekad serta semangat seluruh warga Perkhidmatan Awam untuk terus memberikan khidmat yang cemerlang, meningkatkan keupayaan, membudayakan penambahbaikan dan sentiasa bersedia menghadapi perubahan.
"Disembahkan juga bahawa pada majlis pagi ini, Kebawah Duli Tuan Patik akan berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Inovasi Perdana (AIP); Anugerah bagi Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA), dan Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA), sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, inovasi, prestasi serta khidmat bakti warga dan institusi Perkhidmatan Awam.
"Semoga pengiktirafan tersebut akan terus menjadi sumber inspirasi dan dorongan kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan prestasi, memperkukuhkan budaya kecemerlangan serta memberikan perkhidmatan yang semakin bermutu kepada rakyat dan negara," sembah Yang Berhormat.
Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan, sambutan HPA pada tahun ini menandakan bermulanya tema baharu bagi tempoh tiga tahun iaitu ‘Menjulang Kepimpinan Dan Kedaulatan Raja: Memacu Perkhidmatan Awam Yang Transformatif’.
Tema ini menyanjung kepimpinan dan kedaulatan raja yang sekian lama menjadi teras kekuatan negara serta asas kepada pengukuhan nilai-nilai Perkhidmatan Awam, sebagaimana juga yang diterapkan menerusi tema-tema Hari Perkhidmatan Awam terdahulu.
Setentunya, ia akan menjadi pendorong utama kepada perubahan, pembaharuan dan penambahbaikan berterusan ke arah penyampaian perkhidmatan yang memberi tumpuan khusus kepada rakyat, yang manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dan orang ramai amnya.
Sepanjang tahun yang lalu, sembah Yang Berhormat, landskap Perkhidmatan Awam negara terus memperlihatkan pelbagai perkembangan.
Ia merangkumi usaha memperkukuh tadbir urus dan kaedah bekerja, memperluas jalinan kerjasama strategik merentas kementerian, jabatan, institusi pengajian, sektor swasta serta rakan serantau dan antarabangsa, di samping mempertingkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai bidang.
"Pada masa yang sama, pendigitalan sektor awam turut menjadi pemangkin Perkhidmatan Awam yang lebih cekap dan responsif, selaras dengan hala tuju Digital Brunei 2030.
"Di samping itu, perkembangan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) pula membuka peluang meningkatkan produktiviti dan mendokong penghasilan keputusan atau ‘Decision-Making’, dengan memastikan penggunaannya terus dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan tadbir urus yang baik.
"Kejayaan transformasi ini sudah pastinya bergantung kepada warga Perkhidmatan Awam itu sendiri," sembah Yang Berhormat.
Dalam sembah alu-aluan itu juga, Yang Berhormat, mewakili Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Eksekutif Sambutan HPA Ke-33 serta seluruh warga Perkhidmatan Awam, merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Majlis Kemuncak Sambutan HPA.
"Keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik serta perkenan untuk mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan anugerah-anugerah pada pagi ini amat bermakna kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam.
"Ia menjadi kesempatan untuk menyembahkan penghargaan dan menjunjung kasih di atas kepimpinan bijaksana, keprihatinan serta pemedulian Kebawah Duli Tuan Patik yang berterusan dalam membimbing perkembangan dan kemajuan Perkhidmatan Awam di negara ini,” sembah Yang Berhormat lagi.