Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
CEBU, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 28 Oktober. - Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-20 telah berlangsung di Pusat Ekspo Mactan, Cebu, Republik Filipina.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Nasional, Republik Filipina, Yang Berhormat Gilberto C. Teodoro Jr. selaku Pengerusi ADMM bagi Tahun 2026, dan dihadiri oleh para Menteri Pertahanan Negara-negara ASEAN dan wakil serta Setiausaha Agung ASEAN. Tahun ini menandakan detik penting apabila ADMM memperingati dua dekad kerjasama pertahanan serantau sejak mesyuarat sulungnya pada 9 Mei 2006.
Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut serta dalam rombongan, Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran) Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.
Juga menghadiri mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan.
Mesyuarat tahun ini telah mencapai kesepakatan dalam meluluskan lima inisiatif ADMM baharu, termasuk Kertas Konsep mengenai Program Pertukaran Pemimpin Muda ADMM, dan Kerta Konsep mengenai Pengukuhan Hubungan antara ADMM-Plus dan Dialog Pertahanan ASEAN Regional Forum (ARF).
Mesyuarat juga berjaya dalam menerima-pakai kenyataan Joint Statement by the ASEAN Defence Ministers Commemorating the 50th Anniversary of the Signing of the Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia, dan deklarasi Manila Joint Declaration on the 20th Anniversary of the ASEAN Defence Ministers' Meeting : Navigating Our Future, Together.
Di samping mesyuarat tersebut, dua mesyuarat menteri-menteri pertahanan tidak rasmi turut diadakan. Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN - Amerika Syarikat telah dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Gilberto C. Teodoro Jr. selaku Pengerusi ADMM, dan Setiausaha Perang, Amerika Syarikat, Yang Berhormat Pete Hegseth.
Ia diikuti dengan pelaksanaan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN - Jepun yang dipengerusikan bersama oleh The Honourable Gilberto C. Teodoro Jr. dan Menteri Pertahanan, Jepun, Tuan Yang Terutama Shinjiro Koizumi.
Bersempena ADMM Ke-20, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Nasional Republik Filipina, di mana kedua-dua pihak menegaskan semula hubungan pertahanan yang kukuh antara kedua-dua negara.
Republik Filipina akan menjadi tuan rumah kepada ADMM-Plus Ke-13 pada Khamis, 29 Oktober 2026.