Peringatan mengenai pencegahan demam campak

16 Nov 2026 - 5:45am

Siaran Akhbar : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. - Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada demam campak (measles).

Demam campak ialah jangkitan virus yang merebak melalui udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bernafas. Virus ini boleh kekal di udara dan pada permukaan sehingga dua jam, menjadikan demam campak salah satu penyakit berjangkit yang paling mudah merebak.

Gejala demam campak biasanya muncul dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala ini termasuk demam panas, batuk, hidung berair, mata merah dan berair, serta tompok putih di dalam mulut. Ruam merah biasanya akan muncul selepas itu, bermula pada muka dan merebak ke bahagian bawah badan.

Demam campak boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru (pneumonia), jangkitan telinga, cirit-birit dan dehidrasi serta keradangan otak (ensefalitis).

Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan kematian. Golongan yang paling berisiko ialah anak damit dan kanak-kanak, wanita hamil, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang belum melengkapkan vaksinasi.

Vaksinasi merupakan langkah perlindungan terbaik daripada demam campak. Vaksin ini selamat dan berkesan serta dua dos memberikan perlindungan sekitar 97 peratus.

Di Negara Brunei Darussalam (NBD), vaksin demam campak diberikan sebagai vaksin gabungan demam campak, beguk dan rubela (MMR) pada usia 12 bulan dan 18 bulan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

NBD telah mengekalkan liputan vaksinasi yang tinggi iaitu melebihi 97 peratus bagi dos kedua vaksin MMR sepanjang lima tahun kebelakangan ini. Vaksinasi juga membantu melindungi keluarga dan komuniti dengan mengurangkan penyebaran penyakit.

Ibu bapa dan penjaga juga diseru untuk memastikan anak-anak mereka telah menerima semua vaksinasi kanak-kanak yang disarankan mengikut jadual Program Imunisasi Kebangsaan.

Bagi menyemak status vaksinasi anak-anak, ibu bapa dan penjaga boleh merujuk kad kuning atau Buku Kesihatan Kanak-kanak atau membuat semakan melalui aplikasi BruHealth. Sekiranya masih tidak pasti atau memerlukan penjelasan lanjut, mereka boleh menghubungi pusat Kesihatan terdekat.

Orang ramai yang mengalami demam dan ruam adalah dinasihatkan untuk kekal berada di rumah, mengelakkan tempat awam dan tidak ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga diperiksa oleh doktor.

Mereka hendaklah memakai sungkup muka apabila pergi ke klinik atau hospital dan memaklumkan kepada petugas di kaunter pendaftaran bahawa mereka mengalami demam dan ruam.

Mereka juga dinasihatkan untuk menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin. Orang ramai disarankan untuk mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air. Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti yang dinyatakan di atas.

Ibu bapa dan penjaga diseru memastikan anak-anak mereka telah menerima semua vaksinasi yang disarankan mengikut jadual Program Imunisasi Kebangsaan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan, Kementerian Kesihatan menerusi talian 148, melayari laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau mengikuti akaun Instagram, @mohbrunei.