Penghayatan doa menaiki kenderaan bentuk jiwa bersyukur, mengingati Allah

16 Nov 2026 - 7:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. - Doa menaiki kenderaan sebagaimana yang terkandung dalam Surah Az-Zukhruf, ayat 13-14 bukan sekadar bacaan ketika memulakan perjalanan, bahkan mengandungi pengajaran mendalam tentang keagungan Allah yang mengurniakan kenderaan sebagai nikmat besar untuk manusia. Melalui doa ini, umat Islam dididik untuk bersyukur pada Allah.

Pada masa yang sama, doa ini juga mengingatkan manusia bahawa setiap perjalanan kehidupan akhirnya akan kembali kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Justeru, penghayatan doa menaiki kenderaan dapat membentuk jiwa yang sentiasa bersyukur, bertawakal dan mengingati Allah dalam setiap perjalanan kehidupan.

Demikian antara perkara yang disebutkan di dalam tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak dari Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-255 dengan kerjasama MTIC kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2026.

Munajat Khas tersebut disertai oleh Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan - timbalan Setiausaha Tetap, warga kerja di bawah KHEU serta MTIC dan juga Ahli-ahli MKKJR. Turut menyertai, murid-murid dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah di bawah KHEU dan Kementerian Pendidikan.

Program Munajat Khas yang diadakan baru-baru ini dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Setiausaha Tetap MTIC, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, selaku Ahli MKKJR bagi mewakili Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku tetamu kehormat bersiaran dari Dewan Amar Pahlawan, MTIC.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, ini diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Bendahari Agong Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA), Awang Haji Noor Aimee bin Haji Metamit dari Dewan Amar Pahlawan, MTIC.

Seterusnya, Doa Munajat Khas dibacakan oleh Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Pengiran Mohd. Saifulzamri bin Pengiran Haji Sabtu, yang juga Ahli Persatuan Brunei Darussalam Cycling Federation (BDCF) dari Dewan Amar Pahlawan, MTIC.

Kemudian diikuti dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Guru Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata, Gadong, JPI, KHEU, Awang Haji Mohd. Amirul Rashid bin Haji Wahab dari Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata, Gadong.

Selesai tazkirah, diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Guru Sekolah Ugama Beribi, Gadong, JPI, KHEU, Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Haji Damit dari Surau Sekolah Ugama Beribi, Gadong.

Program Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam (NBD) berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan kemalangan jalan raya.

Program kali ini juga diadakan bagi memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya, sama ada yang terkorban mahupun yang mengalami kecederaan akibat kemalangan serta menzahirkan rasa simpati, keprihatinan dan sokongan kepada keluarga yang terkesan.

Di samping itu, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya keselamatan jalan raya, memupuk sikap bertanggungjawab, berhemah dan beretika dalam kalangan pengguna jalan raya, serta mengingatkan semua pihak mengenai kesan dan impak kemalangan terhadap individu, keluarga dan masyarakat.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, di samping mengurniakan rahmat kepada mangsa-mangsa yang telah kembali ke rahmatullah, menguatkan hati keluarga yang ditinggalkan, dan memelihara NBD daripada kejadian kemalangan jalan raya serta sebarang musibah yang tidak diingini.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheu.