BERAKAS, Ahad, 15 November. - Program Kesedaran Bantuan Pernafasan dan Tekanan Dada (CPR) serta Penggunaan Alat Kejutan Elektrik Automatik Luaran (AED) yang diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini memberi pendedahan serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam memberikan bantuan awal kepada individu yang mengalami kecemasan, khususnya apabila berlaku keadaan jantung terhenti.
Program berkenaan melibatkan seramai 236 pelajar dan 76 guru daripada 24 buah sekolah di negara ini.
Pegawai Perubatan Kanan, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr. Hajah Irenawati binti Abdul Samad menjelaskan, program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada para pelajar dan guru mengenai cara mengenal pasti situasi kecemasan serta tindakan yang perlu diambil apabila seseorang mengalami jantung terhenti.
Menurutnya lagi, golongan pelajar dan guru dipilih kerana mereka berkemungkinan menjadi antara individu terawal yang berada di tempat kejadian, sama ada di sekolah, rumah mahupun tempat awam.
"Tindakan awal yang diberikan boleh membantu menyelamatkan nyawa sementara menunggu ketibaan ambulans," jelasnya.
Beliau turut mengongsikan bahawa beberapa negara seperti Australia, United Kingdom dan Kanada telah mula memperkenalkan latihan CPR di sekolah. Maklum balas daripada para pelajar juga menunjukkan perkembangan yang menggalakkan apabila latihan seumpamanya didapati dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk melakukan CPR dan menggunakan AED.
Menerusi program itu tambahnya lagi, para peserta didedahkan kepada cara mengenal pasti tanda-tanda jantung terhenti, iaitu apabila seseorang tidak memberikan tindak balas dan tidak bernafas. Mereka turut mempelajari langkah mendapatkan bantuan kecemasan dengan menghubungi Talian Ambulans 991, melakukan tekanan dada atau CPR serta menggunakan AED dengan selamat.
Dr. Hajah Irenawati berharap para peserta akan lebih berkeyakinan untuk mengambil tindakan sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar, termasuk mengetahui bila perlu menghubungi Talian Ambulans 991, meminta bantuan untuk mendapatkan AED dan memulakan tekanan dada.
Beliau juga berharap ilmu yang diperoleh dapat dikongsikan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan agar lebih ramai masyarakat mempunyai pengetahuan asas dalam memberikan bantuan kecemasan.
Menyentuh mengenai kebimbangan orang ramai untuk melakukan CPR, Dr. Hajah Irenawati menjelaskan bahawa perasaan takut merupakan sesuatu yang biasa, terutama bagi mereka yang pertama kali berhadapan dengan situasi sedemikian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak teragak-agak untuk menghubungi Talian Ambulans 991, dan menggunakan fungsi pembesar suara telefon bagi membolehkan mereka mendengar serta mengikuti panduan petugas kecemasan sambil memberikan bantuan kepada mangsa.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB), Dayang Armacester binti Haji Arsad, yang juga Ketua Unit Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) maktab berkenaan, menyambut baik inisiatif Kementerian Kesihatan dalam memberikan ilmu pengetahuan dan pengalaman praktikal mengenai CPR dan AED.
Beliau berkata, penglibatan dalam program tersebut didorong oleh tanggungjawabnya dalam mengutamakan aspek keselamatan warga maktab, selain minat untuk mengikuti kursus berkaitan keselamatan yang dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi situasi kecemasan.
Menurutnya lagi, perkara yang menarik perhatiannya ialah pendedahan khusus mengenai penggunaan AED, yang merupakan pengalaman baharu berbanding kursus keselamatan lain yang pernah disertainya sebelum ini.
Dayang Armacester turut menyifatkan latihan berkenaan sebagai peluang untuk mengulang kaji kemahiran CPR yang pernah dipelajarinya sebelum ini, di samping memperoleh pengetahuan baharu mengenai penggunaan AED.
"Selepas mengikuti program ini, saya lebih yakin untuk memberikan bantuan kepada pelajar sekiranya berlaku kecemasan.
"Latihan secara berkumpulan dalam jumlah peserta yang kecil dengan bimbingan tenaga pengajar juga membolehkan setiap peserta memberikan tumpuan sepenuhnya dan menerima pemantauan secara langsung ketika melakukan CPR dan menggunakan AED," ujarnya lagi.
Beliau berharap pengetahuan yang diperoleh dapat dikongsikan bersama rakan-rakan sekerja di MDPMAMB menerusi sesi perkongsian dan pembangunan profesional, sekali gus memperluas kesedaran mengenai kepentingan kemahiran menyelamatkan nyawa dalam kalangan warga maktab.
Dalam pada itu, pelajar Tahun 9, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS), Dayang Farwyzah binti Haji Mohamad Sofian pula menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang bermanfaat kerana memberi peluang kepada para pelajar untuk mengetahui tindakan yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi kecemasan yang memerlukan bantuan segera.
Beliau berasa teruja untuk menyertai latihan berkenaan kerana berpeluang menambah pengetahuan, khususnya mengenai cara melakukan CPR dengan betul.
"Sekiranya berlaku kecemasan yang melibatkan rakan-rakan di sekolah, tindakan awal yang akan dilakukan ialah mendapatkan bantuan guru terlebih dahulu sebelum memberikan pertolongan berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.
"Jangan takut untuk mencuba. Dengan ilmu yang diperoleh, kita boleh memberanikan diri untuk membantu orang lain, terutama rakan-rakan di sekolah yang memerlukan pertolongan," ujarnya lagi.
Program seumpama itu diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa akan datang, sekali gus membudayakan pengetahuan asas CPR dan penggunaan AED dalam kalangan pelajar serta guru.
Ini penting bagi memastikan warga sekolah bukan sahaja mengetahui langkah yang perlu diambil ketika berlakunya kecemasan, malah mempunyai keyakinan untuk bertindak dengan pantas dan betul dalam usaha menyelamatkan nyawa.