Penanaman 100 anak pokok cerminkan kesinambungan institusi penaziran

2 Okt 2026 - 7:00am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BELAIT, Khamis, 1 Oktober. – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah (JKSS), hari ini mengadakan Majlis Penanaman Anak Pokok sempena Sambutan 100 Tahun Penaziran di Negara Brunei Darussalam (NBD) bertempat di Ruang Legar, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Belait.

Acara penanaman anak pokok berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Kenaziran Sekolah-Sekolah, Awang Haji Zainal Abidin bin Haji Kepli bersama Pengetua PTE Belait, Dayang Chin Ai Fong selaku sekolah tuan rumah.

Pada majlis berkenaan, Pengarah Kenaziran Sekolah-Sekolah turut menyampaikan anak-anak pokok kepada para pemimpin sekolah daripada sekolah-sekolah terpilih untuk ditanam di sekolah masing-masing sebagai sebahagian daripada inisiatif memperingati Sambutan 100 Tahun Penaziran.

Sebanyak 100 batang anak pokok Pohon Ubah Merah disediakan untuk ditanam di 100 buah sekolah terpilih di seluruh negara, dengan setiap sekolah menerima satu anak pokok.

Penanaman 100 batang anak pokok berkenaan membawa erti simbolik yang signifikan, iaitu satu pokok bagi setiap tahun penaziran, sekali gus mencerminkan perjalanan, kesinambungan dan sumbangan institusi penaziran dalam pembangunan serta peningkatan mutu pendidikan di NBD.

Institusi penaziran merupakan salah satu elemen penting dalam sistem pendidikan negara yang berperanan memastikan mutu pembelajaran dan pengajaran sentiasa dipantau, dinilai dan ditambah baik.

Penaziran juga berfungsi sebagai mekanisme jaminan kualiti melalui pemantauan, penilaian serta pemberian sokongan profesional kepada sekolah dan para pendidik.

Pemilihan penanaman 100 batang anak pokok di 100 buah sekolah turut membawa mesej mengenai kesinambungan, pertumbuhan dan kelestarian.

Sebagaimana sebatang pokok memerlukan penjagaan berterusan untuk tumbuh dan berkembang, sistem pendidikan juga memerlukan pemantauan, penilaian, sokongan dan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan kualiti pendidikan terus dipelihara.

Melalui inisiatif berkenaan, setiap sekolah yang menerima anak pokok bukan sahaja menjadi sebahagian daripada Sambutan 100 Tahun Penaziran, malah turut menjadi tempat simbolik sejarah berkenaan dipelihara untuk generasi akan datang.

Sambutan 100 Tahun Penaziran pada 2026 menjadi satu detik bersejarah dalam perjalanan institusi penaziran di NBD.

Ia bukan sahaja menjadi wadah untuk mengenang sumbangan dan jasa para nazir sekolah terdahulu, malah mencerminkan komitmen berterusan JKSS dalam mendukung usaha meningkatkan mutu dan standard pendidikan negara.