Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. - Lebih 70 ahli Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) menyertai Lantern Ride 2026 sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah dan Sambutan Hari Guru 2026, malam tadi.
Program berkenaan diisikan dengan acara Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Para ahli PEMODA terlebih dahulu berkumpul di kawasan letak kereta masjid sebelum menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan seterusnya bergambar ramai di pekarangan masjid.
Rombongan konvoi PEMODA yang diketuai oleh Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad, kemudian memulakan perjalanan dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah melalui Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah menuju ke Lebuhraya Tungku dan seterusnya melalui Lebuhraya Tutong-Muara menuju ke BRIDEX.
Konvoi berkenaan kemudiannya menyertai acara Lepark Dua Roda sempena Borneo Kustom Show 2026.
Antara tujuan utama penganjuran program berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan kepada para ahli mengenai teknik dan aspek keselamatan menunggang motosikal, khususnya ketika menunggang pada waktu malam.
Selain itu, aktiviti berkenaan turut memberikan peluang kepada para ahli untuk meluangkan masa bersama-sama dalam suasana yang lebih santai, di samping menunaikan solat secara berjemaah dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli PEMODA.