Pematuhan Akta Kawalan Harga bantu perkukuh iklim perniagaan

1 Okt 2026 - 5:58am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

BELAIT, Rabu, 30 September. - Sebuah premis perniagaan didapati melanggar Akta Kawalan Harga, Penggal 142 semasa operasi sepadu yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) ke atas beberapa buah premis perniagaan di kawasan Kampung Sungai Liang dan Kampung Lumut di Daerah Belait baru-baru ini.

Operasi sepadu JPES dan Unit SDT berkenaan adalah merupakan kerja penguatkuasaan yang dijalankan secara bulanan dalam usaha bagi memperkukuh iklim perniagaan yang wajar dan telus dengan memastikan kepatuhan peniaga terhadap perundangan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan Peraturan di bawahnya serta Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151.

Semasa operasi sepadu berkenaan, JPES telah mengeluarkan satu Notis Amaran kepada sebuah premis perniagaan kerana menjual barangan yang dikawal harga, iaitu minyak masak dan susu tepung anak damit, melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Dalam kesempatan berkenaan, JPES dan Unit SDT merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang telah menyalurkan aduan secara rasmi berserta dengan dokumen sokongan seperti resit pembelian.

Bagi sebarang aduan atau pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui saluran rasmi seperti berikut, iaitu JHEP, JPES melalui Talian Darussalam 123 atau e-mel ‘aduanpengguna@jpes.gov.bn’ dan Unit SDT melalui nombor di talian +673 2334092 atau e-mel ‘sdt@mof.gov.bn’.