Pameran serlahkan 6 dekad MHBPT, mercu tanda keagamaan Daerah Tutong

26 Sep 2026 - 6:35am

Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

TUTONG, Jumaat, 25 September. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT) bertempat di Kem Pameran, Kawasan Letak Kereta MHBPT, pagi tadi.

Berangkat sama menyaksikan pameran tersebut ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM.

Pameran Jubli Intan 60 Tahun MHBPT secara keseluruhannya menyerlahkan enam dekad MHBPT di mana memasuki usia 60 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1966, MHBPT kekal berdiri kukuh sebagai mercu tanda keagamaan dan sejarah terunggul di Daerah Tutong.

Masjid ini terus berkembang sebagai pusat penyatuan ummah, keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan. Pelbagai pemeliharaan serta penambahbaikan kemudahan terus dilaksanakan bagi memastikan keselesaan jemaah sekali gus memelihara nilai sejarah dan keindahan seni binanya untuk generasi masa kini dan akan datang. 

Pada pameran tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula dijunjung menyaksikan ruang pameran Zon 1 yang mempamerkan sejarah dan latar belakang masjid yang kaya dengan legasi dan warisan yang membanggakan serta perkembangan yang progresif.

Di ruang pameran Zon 1 antaranya mempamerkan latar belakang sejarah dan peristiwa penting di mana pembinaan MHBPT bermula pada 17 April 1965 di atas tanah wakaf sumbangan Allahyarham Awang Abd. Latif bin Khattab dan Allahyarham Awang Mohd. Daud bin Bujang yang dibina dengan kos BND700,000 khusus untuk menampung 1,000 jemaah.

MHBPT dirasmikan pada Jumaat, 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang pada waktu itu memegang gelaran Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah dan sebelum baginda menaiki takhta menjadi Sultan Brunei Ke-29.

Turut dipaparkan di ruang pameran zon ini ialah barisan imam, bilal dan marbut sejak 1960-an sehinggalah sekarang dan sejarah cokmar Khutbah Jumaat.

Kebawah DYMM kemudiannya berkenan menyaksikan ruang pameran Zon 2 yang mengetengahkan pelbagai pengisian dan program masjid yang meluas serta memberikan impak positif kepada masyarakat. Menerusi pengisian ruang pameran zon ini antaranya menyerlahkan enam dekad kecemerlangan institusi MHBPT sebagai mercu syiar, ilmu dan kesejahteraan ummah melalui lima teras utama.

Lima teras utama berkenaan meliputi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam; Pendidikan dan Kebudayaan Islam seperti Kumpulan Lajnah Pendidikan MHBPT iaitu satu badan kecil yang ditubuhkan di bawah Ahli Jawatankuasa Takmir MHBPT pada tahun 2025 sekali gus bagi memperkasa pendidikan Islam dalam kalangan jemaah dengan menyelaraskan program pengajian, kelas dan aktiviti ilmu agama; Hal Ehwal Kebajikan dan Kemasyarakatan iaitu pelbagai usaha sebagai nadi sokongan sosial yang memupuk semangat keprihatinan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan komuniti; Fakir dan Miskin iaitu dengan istiqamah menyantuni golongan yang memerlukan melalui agihan bantuan, infak dan tanggungjawab sosial demi merapatkan jurang kehidupan; Hal Ehwal Muslimah iaitu memperkasa peranan wanita sebagai tiang seri keluarga dan masyarakat menerusi wadah kepimpinan, ilmu serta kegiatan kekeluargaan.

Manakala di ruang pameran Zon 3, baginda dijunjung menyaksikan yang menumpukan kepada usaha membina masyarakat masjid yang berilmu, aktif, saling bergotong-royong dan bersepadu. Salah satunya melalui penubuhan Kumpulan Sahabat Masjid yang berperanan dalam memastikan keselesaan dan kesucian tandas serta tempat wuduk lelaki dan perempuan sentiasa berada pada tahap kebersihan tertinggi secara berkala serta menjaga standard kebersihan dan kesucian zon utama jemaah. Kumpulan ini melaksanakan kempen mingguan mereka pada setiap Ahad selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di MHBPT yang telah bermula pada awal bulan Oktober 2025.

Begitu juga penubuhan Kumpulan Komuniti Taman Harmoni yang bertanggungjawab dalam menjaga dan memelihara kawasan masjid secara berterusan menerusi projek tanaman hijau dan bunga-bungaan sekali gus memperindahkan suasana persekitaran masjid dengan mereka bentuk landskap terkini.

Baginda seterusnya dijunjung menyaksikan ruang pameran Zon 4 yang memaparkan wawasan masjid yang tidak statik sebaliknya berani maju ke hadapan dengan penuh komitmen untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Antara pengisian yang dipaparkan ialah visi dan misi Kumpulan Belia 'IbadurRahman MHBPT, Projek Naik Taraf MHBPT 2026 - 2030 dan juga Pelan Strategik MHBPT 2028 - 2030.

Manakala ruang pameran yang terakhir iaitu Zon 5 pula menampilkan pameran khas dari Pusat Da'wah Islamiah (PDI) yang menekankan peranan PDI dalam menyebarluaskan dan memantapkan ajaran serta penghayatan agama Islam kepada masyarakat.

Melalui bahagian-bahagian dan urus setia yang saling melengkapi, usaha dakwah dilaksanakan secara menyeluruh daripada perancangan dan penyampaian dakwah, pendidikan dan bimbingan, pembangunan mualaf, kajian dan penerbitan, media, penapisan dan pameran hingga program keagamaan dan penghayatan Al-Quran. 

Dalam pemeliharaan akidah, usaha ini membantu masyarakat memperoleh ilmu yang benar, bimbingan yang berautoriti, kesedaran terhadap perkara yang mengelirukan serta penghayatan Islam dalam kehidupan.

Menerusi pameran ini, ia menyerlahkan enam dekad berlalu, cahaya MHBPT ini kekal menyinari jiwa, membangun minda dan menyatukan ummah demi keredaan Illahi. Sebagai sebuah masjid utama di Daerah Tutong, MHBPT ini bukan sahaja berperanan sebagai sebuah tempat beribadat semata-mata, tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat serta tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.