NBD, Republik Peru terus memperkukuh hubungan persahabatan, kerjasama

19 Nov 2026 - 8:34am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Haji Othman

SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 18 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala secara berasingan bersama Presiden Republik Peru, Puan Yang Terutama Keiko Fujimori bertempat di Grand Hyatt Shenzhen.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Semasa Majlis Perjumpaan tersebut, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Peru.

Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin telah menyampaikan undangan untuk mengadakan lawatan timbal balik bagi meningkatkan interaksi peringkat tertinggi dan memperdalam lagi hubungan dua hala.

Puan Yang Terutama Presiden Republik Peru juga mempelawa NBD untuk meneroka peluang pelaburan di Republik Peru, dengan mengetengahkan potensi bagi kerjasama ekonomi yang lebih luas serta perkongsian yang saling menguntungkan dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama.

NBD dan Republik Peru telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 1 Jun 1990 dan terus menikmati hubungan persahabatan yang berlandaskan sikap saling menghormati.

Kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan tenaga. Hubungan ini turut diperkukuhkan lagi menerusi Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Peru pada November 2024.

Kedua-dua negara juga bekerjasama rapat melalui platform-platform serantau seperti APEC dan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).