NBD, Republik Demokratik Rakyat Lao terus perkukuh persahabatan, kerjasama

17 Nov 2026 - 5:48am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Isnin, 16 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith.

Majlis Perjumpaan tersebut telah diadakan di Philippine International Convention Centre, Republik Filipina, hari ini.

Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith sebagai Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao pada 5 Oktober 2026.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan hasrat untuk terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin demi manfaat serta kemakmuran bersama kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut merakamkan ucapan tahniah kepada Republik Demokratik Rakyat Lao atas kejayaannya beralih keluar daripada status Least Developed Country (LDC), satu pencapaian penting yang mencerminkan daya tahan serta komitmen negara tersebut menuju pembangunan mampan.

Baginda juga bertitah menzahirkan rasa puas hati mengenai hubungan Perkongsian Strategik antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Demokratik Rakyat Lao, yang merangkumi bidang perdagangan, pertahanan, pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

Memandangkan landskap geopolitik yang sentiasa berubah, baginda bertitah menekankan kepentingan memperkukuh sekuriti makanan dan rantaian bekalan.

Dalam hubungan ini, baginda bertitah bahawa NBD berminat untuk membangunkan hubungan perdagangan melalui usaha sama dalam sektor pertanian bagi meningkatkan kapasiti kedua-dua buah negara.

Baginda seterusnya bertitah bahawa Biasiswa Kerajaan NBD bagi pelajar-pelajar dari Republik Demokratik Rakyat Lao telah dilanjutkan sehingga tahun 2029, yang akan terus merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara melalui pendidikan.

Baginda juga menzahirkan penghargaan terhadap penyertaan Republik Demokratik Rakyat Lao dalam Kursus Bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh para pegawai pertahanan NBD, serta berharap agar penyertaan tersebut akan berterusan.

Hubungan diplomatik antara NBD dan Republik Demokratik Rakyat Lao mula terjalin pada 27 Julai 1993. Kedua-dua buah negara menikmati hubungan dua hala yang erat dan mesra serta terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

NBD dan Republik Demokratik Rakyat Lao telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik pada 3 Oktober 2023 bersempena dengan Ulang Tahun Ke-30 Hubungan Diplomatik antara kedua-dua buah negara.