Perkongsian ASEAN-Australia perkasa daya saing perniagaan serantau

17 Nov 2026 - 6:15am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Isnin, 16 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Ke-6 di Philippine International Convention Center, Manila, Republik Filipina.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Ke-6, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengetengahkan kedudukan istimewa Australia sebagai Rakan Dialog pertama ASEAN dan negara pertama yang menjalin Perkongsian Strategik Komprehensif dengan ASEAN.

Sempena ulang tahun kelima perkongsian tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh asas kerjasama yang kukuh bagi meningkatkan daya saing dan mempersiapkan sektor perniagaan menghadapi transformasi digital.

Baginda bertitah menekankan keperluan memperluaskan akses kepada pasaran serantau, selaras dengan langkah ASEAN memajukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, bagi mewujudkan peluang yang bermakna kepada rakyat ASEAN.

Menyedari cabaran serta prosedur rumit dan kekurangan sokongan praktikal, khususnya bagi perusahaan yang lebih kecil, yang dihadapi oleh syarikat-syarikat dari Negara Brunei Darussalam yang berhasrat untuk berkembang melangkaui pasaran domestik, baginda mengetengahkan peranan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) yang telah dinaik taraf dalam memudahkan penggunaan dokumen elektronik serta pematuhan keperluan rentas sempadan, sekali gus mengurangkan kos dan kelewatan penghantaran bagi pengeksport.

Baginda juga bertitah menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Australia melalui inisiatif 'Australia for ASEAN Digital Transformation and Future Skills' yang telah membantu para pekerja syarikat menggunakan peralatan digital dalam aktiviti e-dagang.

Baginda mengakhiri titah dengan menegaskan bahawa inisiatif kerjasama seumpama ini jelas menunjukkan nilai perkongsian ASEAN-Australia dalam membantu perniagaan menyesuaikan diri, berkembang serta merebut peluang-peluang baharu dalam ekonomi digital.