Mendukung kepelbagaian ekonomi, mewujudkan sumber pendapatan mampan

17 Nov 2026 - 6:21am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

 MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Isnin, 16 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) Ke-27 bersama para Pemimpin ASEAN yang berlangsung di Philippine International Convention Center, Manila, Republik Filipina.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada Sidang Kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah dengan pandangan bahawa Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK mampu menyokong kepelbagaian ekonomi dan mewujudkan sumber pendapatan yang mampan.

Kebawah DYMM dalam titahnya menekankan bahawa kekuatan teknologi dan industri kreatif ROK menawarkan peluang kepada golongan belia dan perniagaan kecil di ASEAN untuk berkembang maju dalam ekonomi yang sedang berubah.

Baginda bertitah Kecerdasan Buatan (AI) dapat memperkemas tugas-tugas pentadbiran dan meningkatkan kecekapan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdepan kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos operasi.

Baginda juga bertitah bahawa Inisiatif ASEAN-ROK AI Companionship dapat memperkukuh hubungan antara perniagaan kecil dengan syarikat teknologi bagi mendapatkan akses kepada peralatan mampu milik, latihan praktikal serta sokongan berterusan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.

Baginda kemudiannya bertitah menekankan bahawa industri kreatif merupakan satu lagi saluran penting bagi pertumbuhan yang berteraskan warisan budaya dan bakat, di samping menggalakkan bimbingan, penerbitan bersama dan akses pasaran yang lebih luas untuk penggiat kreatif muda melalui Inisiatif Industri Budaya dan Kreatif ASEAN-ROK.