Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 26 September. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang diadakan pada 17 hingga 22 September 2026 di Manila, Republik Filipina. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri, Republik Filipina, Puan Yang Terutama Ma. Cristina A. Roque.
Pada AEM Ke-58, para menteri mengambil maklum bahawa ekonomi ASEAN terus menunjukkan daya tahan walaupun berdepan dengan ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis di Timur Tengah serta ketidakpastian geoekonomi global. Sehubungan itu, para menteri menekankan kepentingan memperdalam integrasi ekonomi serantau, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, menggalakkan pelaburan serta mempertingkatkan kerjasama dalam isu-isu ekonomi yang sedang berkembang bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan daya saing jangka panjang ASEAN dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu.
Para menteri turut menegaskan komitmen teguh ASEAN terhadap kejayaan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030.
Sehubungan itu, mesyuarat telah menerima pakai Pelan-pelan Sektoral AEC bagi memandu pelaksanaan Pelan Strategik AEC 2026-2030, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk mengekalkan pertumbuhan berkualiti tinggi serta memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekonomi global.
Para menteri mengalu-alukan kemajuan ketara dalam pelaksanaan Penyampaian Ekonomi Keutamaan (Priority Economic Deliverables - PED) 2026, termasuk penandatanganan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement - DEFA) yang dijadualkan berlangsung di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 pada November 2026.
ASEAN DEFA akan menyediakan asas yang lebih kukuh bagi ekonomi digital yang lebih bersepadu, inklusif, berdaya saing dan dipercayai, di samping membantu perniagaan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), untuk mengambil bahagian dengan lebih mudah dalam ekonomi digital serantau serta membolehkan transaksi digital rentas sempadan dilaksanakan dengan lancar.
Mesyuarat turut mengalu-alukan penandatanganan Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Pelaburan ASEAN-Hong Kong, China (AHKIA) pada 20 September 2026. Protokol tersebut dijangka meningkatkan ketelusan bagi para pelabur dari ASEAN dan Hong Kong, Republik Rakyat China.
Semasa AEM Ke-58 - Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area Council Meeting) Ke-40, para menteri mengambil maklum mengenai peningkatan kadar penggunaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ASEAN Trade in Goods Agreement - ATIGA) serta mengalu-alukan penerusan pelaksanaan langkah-langkah yang memudah cara perdagangan, termasuk pelaksanaan sepenuhnya Borang D elektronik (e-Form D) dan Skim Pensijilan Kendiri Seluruh ASEAN, yang memudahkan pergerakan barangan secara lancar serta akses kepada layanan tarif keutamaan.
Para menteri turut mengalu-alukan Deklarasi mengenai Pemakaian Sementara Protokol Kedua untuk Meminda ATIGA (ATIGA Dinaik Taraf), yang akan memudahkan penguatkuasaan awal ATIGA Dinaik Taraf dalam tahun 2026 bagi merealisasikan manfaatnya melalui pemudahcaraan pergerakan barangan secara lancar, peningkatan ketelusan dan kebolehramalan bagi perniagaan, khususnya PMKS di seluruh rantau ini.
Pada AEM Ke-58 - Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (ASEAN Investment Area Council Meeting) Ke-29, para menteri mengalu-alukan penandatanganan Protokol Kelima untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN (ACIA) oleh semua pihak serta penerimaan rasmi Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASEAN Sustainable Investment Guidelines - ASIG).
Mesyuarat turut mengalu-alukan kemajuan yang baik dalam beberapa inisiatif pelaburan, seperti pelaksanaan Pelan Tindakan Promosi Pelaburan Serantau ASEAN (RIPAP) serta pelancaran laman sesawang baharu InvestASEAN dan 'Investment Ready Projects: A Guide for Investment Promotion Agencies'.
Para menteri turut membincangkan Laporan Pelaburan ASEAN 2026 mengenai Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pembangunan Aset Tidak Ketara serta Kajian Semula Dasar-dasar Pelaburan di ASEAN.
Yang Berhormat telah menyertai Rundingan AEM Ke-24 - Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), di mana mesyuarat telah membincangkan cadangan dasar ASEAN-BAC mengenai rantaian bekalan dan pemudahcaraan perdagangan, ekonomi digital, ekonomi kitaran dan kemampanan serta projek-projek legasinya.
Para menteri turut mengadakan rundingan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), Darren Tang, di mana mereka membincangkan perkembangan Memorandum Persefahaman ASEAN-WIPO dan bidang-bidang kerjasama strategik dalam Harta Intelek, serta impak aset tidak ketara dan pengintegrasian harta intelek ke dalam ekonomi digital dan kreatif. Perkara ini berpotensi membolehkan perniagaan, institusi penyelidikan dan para pencipta melindungi serta mengkomersialkan inovasi mereka, menarik pelaburan dan berkembang ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Siri mesyuarat tersebut turut merangkumi rundingan dengan Rakan Dialog ASEAN termasuk Australia, Kanada, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah, Hong Kong, Republik Rakyat China, Republik India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Persekutuan Rusia, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut, para menteri mengalu-alukan perkembangan usaha-usaha kerjasama ekonomi serta membincangkan pelaksanaan atau rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dengan Rakan Dialog, iaitu (i) Australia dan New Zealand; (ii) Kanada; (iii) Republik Rakyat China; (iv) Hong Kong, Republik Rakyat China; (v) Republik India; (vi) Jepun; dan (vii) Republik Korea.
Semasa AEM Ke-31 - Rundingan Hubungan Ekonomi Lebih Rapat, Yang Berhormat selaku Penyelaras Negara ASEAN, telah memberikan taklimat kepada mesyuarat dan menyatakan kepuasan terhadap kerja-kerja berkaitan pelaksanaan Perjanjian Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).
Sehubungan itu, Yang Berhormat merakamkan penghargaan kepada Australia dan New Zealand atas komitmen berterusan mereka dalam menyokong pelaksanaan AANZFTA melalui bantuan teknikal dan kewangan di bawah Program Sokongan Pelaksanaan AANZFTA (AISP) dan Perdagangan Serantau untuk Pembangunan (RT4D).
Di samping itu, Yang Berhormat menggesa pihak-pihak yang masih belum berbuat demikian untuk mempercepatkan prosedur domestik masing-masing bagi meratifikasi Protokol Kedua untuk Meminda AANZFTA, bagi membolehkan para pedagang, perniagaan dan pelabur dari ASEAN, Australia dan New Zealand memperoleh manfaat daripada perjanjian yang telah dipertingkatkan tersebut.
Para menteri turut mengadakan Mesyuarat Menteri-menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Ke-5, yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Perdagangan Republik Indonesia, Puan Yang Terutama Dyah Roro Esti Widya Putri dan Ahli Parlimen dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Pertahanan dan Perdagangan, Parlimen New Zealand, Yang Berhormat Dr. Shane Reti, MP.
Antara lain, para menteri menekankan peranan penting Perjanjian RCEP dalam memajukan integrasi ekonomi serantau dan mengalu-alukan perkembangan positif ke arah memperluaskan keahlian RCEP.
Sehubungan itu, para menteri meluluskan cadangan Jawatankuasa Bersama RCEP untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Khas mengenai Penyertaan bagi memajukan proses penyertaan Hong Kong, Republik Rakyat China, Sri Lanka, Chile dan Republik Rakyat Bangladesh.
Bagi Uruguay pula, mesyuarat mengambil maklum mengenai hasrat negara tersebut untuk menyertai perjanjian berkenaan pada Februari 2026, yang akan dipertimbangkan sewajarnya.
Mesyuarat turut mengambil maklum mengenai persiapan yang sedang dilaksanakan bagi Kajian Semula Umum Perjanjian RCEP pada tahun 2027, yang akan menyediakan peluang untuk memperkukuh dan menambah baik perjanjian tersebut selaras dengan perkembangan ekonomi serantau dan global yang sedang berkembang.