Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Ihsan Kumpulan Belia Ibadurrahman
TUTONG, Ahad, 27 September. - Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT) yang telah diadakan selama tiga hari bermula 25 September 2026 telah berakhir pada petang tadi dalam satu Majlis Penutup dan Penghargaan sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun masjid berkenaan.
Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Solat Utama, MHBPT, di sini, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad, selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat Imam MHBPT, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Imam MHBPT, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.
Awang Mohammad Waiz dalam ucapannya, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penaja dan pewakaf para dermawan dan penaja serta semua pihak yang telah memberikan sokongan tenaga, buah fikiran dan sumbangan dalam perjalanan MHBPT sepanjang 60 tahun penubuhannya, terutama kepada pihak yang telah bersama-sama menjayakan Sambutan Jubli Intan MHBPT.
Jelasnya lagi, majlis yang diadakan pada hari ini bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi merupakan satu kesempatan untuk mengenang kembali perjalanan enam dekad sebuah masjid yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat khususnya Daerah Tutong.
Tambahnya, 60 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Sepanjang enam dekad berkenaan, beribu-ribu sembahyang telah didirikan di masjid ini. Beribu-ribu azan dan iqamah telah dikumandangkan. Berapa banyak ayat suci al-Quran telah dibaca, berapa banyak majlis ilmu telah diadakan, dan berapa ramai anak-anak serta generasi masyarakat yang telah dididik dan dibimbing melalui institusi masjid ini.
MHBPT katanya, bukan sekadar sebuah bangunan tempat menunaikan solat. Ia merupakan sebuah institusi yang berperanan sebagai pusat syiar Islam, pusat pendidikan dan penyebaran ilmu, serta tempat penyatuan masyarakat.
Awang Mohammad Waiz seterusnya berkata, pelbagai golongan telah disantuni melalui aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa, daripada golongan kanak-kanak, belia, dewasa, para jemaah dan juga golongan Muslimah. Inilah nilai sebenar sebuah masjid, bukan hanya pada binaannya, tetapi pada sejauh mana ia dihidupkan dengan ibadah, ilmu, ukhuwah dan khidmat kepada masyarakat.
Majlis diteruskan dengan penyampaian penghargaan kepada para penaja, yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta, pihak persendirian yang telah menyumbang infak dan wakaf bagi pembangunan dan menaik taraf prasarana MHBPT dan Sambutan Jubli Intan MHBPT yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Seterusnya tetamu kehormat majlis telah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada para penaja atau pewakaf serta mantan imam dan bilal-bilal yang pernah berkhidmat di MHBPT.
Majlis berkenaan juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia dan beliawanis Kumpulan Belia Ibadurrahman dan jemaah MHBPT.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis oleh Ketua Imam dan seterusnya sesi bergambar ramai.
MHBPT telah dirasmikan pada Jumaat, 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (yang pada waktu itu memegang gelaran Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).