Menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan keluarga

19 Okt 2026 - 5:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Generasi Keluarga Purih Awang Murah dan Awang Jambol

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 Oktober. - Kitab suci Al-Quran merupakan mukjizat yang teragung kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang juga sebagai penawar yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa.

Menurut Pengerusi II, Awang Haji Md. Jaini bin Haji Ismail, pada Majlis Khatam Al-Quran bagi generasi Keluarga Purih Awang Murah dan Awang Jambol (Keluarga Generasi MJ) yang berlangsung di sebuah restoran di Beribi, di sini, beliau berharap agar semua yang hadir sentiasa dikurniakan hidayah untuk terus mencintai Al-Quran, memahaminya, mengambil ajaran dan ber’tadabbur’ daripadanya sehingga kitab suci berkenaan akan menjadi teman kita di alam barzakh nanti.

Jelasnya lagi, Keluarga Generasi MJ berhasrat untuk melahirkan generasi yang cintakan Al-Quran dengan menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai budaya dalam kalangan ahli keluarga, dan hasrat tersebut diharapkan dapat direalisasikan melalui program berkenaan.

"Kita juga menzahirkan rasa terharu atas kerahmatan Majlis Khatam Al-Quran ini, selain keluarga generasi MJ dalam bertemu dan mengeratkan hubungan kekeluargaan," ujarnya lagi.

Majlis Khatam Al-Quran kali kedua berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Dayang Masni Haji Ibrahim selaku tetamu khas majlis.

Bacaan surah-surah lazim yang bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga An-Nas dikepalai oleh Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusoff bin Haji Ismail, yang juga membacakan Doa Khatam dan Doa Selamat.

Majlis diserikan lagi dengan Zikir Marhaban oleh peserta khatam dan ahli Keluarga Generasi MJ yang hadir.