Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Ihsan Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali
SENGKURONG, Khamis, 1 Oktober. - Bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026, Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali (MSSA), Kampung Sengkurong baru-baru ini telah berjaya menganjurkan sebuah forum berjudul FOMO : Hype VS Need di bawah Program Youth Protection Series Ke-10 bertempat di Masjid Sultan Sharif Ali (MSSA), Kampung Sengkurong.
Lebih 80 peserta telah berdaftar menghadiri forum ini yang mana ia dibukakan kepada masyarakat umum secara amnya termasuklah sekolah-sekolah di bawah Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Kementerian Kesihatan dan juga belia-belia masjid di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Antara tujuan forum ini dilaksanakan ialah sebagai salah satu usaha untuk memberikan kefahaman kepada peserta dan orang ramai mengenai konsep FOMO atau Fear of Missing Out yang merupakan situasi timbulnya perasaan takut akan ketinggalan sesuatu yang sedang popular atau ‘trending’ ketika ini dan juga pengaruhnya dalam kehidupan seharian. Begitu juga, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan mengikuti trend tanpa membuat pertimbangan yang sewajarnya.
Sehubungan itu, kejayaan forum yang berlangsung selama dua jam itu telah menyaksikan perkongsian penuh interaktif oleh tiga orang panel yang terdiri daripada Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abd. Rahman dan Psikologis Klinikal, Ketua Strategi Kesihatan Mental Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Awang Haji Matassan.
Panel seterusnya ialah Penolong Pendaftar Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr. Muhd Yadiy bin Haji Mat Yassin dan Pemangku Timbalan Ketua Beliawanis, Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA, Kampung Sengkurong, Dayang Norsafina binti Awang Adi selaku moderator.
Dengan adanya penganjuran forum sebegini, ia juga dihasrat untuk membimbing peserta dan orang ramai supaya dapat membezakan antara keperluan, kehendak dan tekanan untuk mengikuti trend dan begitu juga bagi menggalakkan para peserta mampu berfikir secara kritis sebelum membuat keputusan berdasarkan pengaruh media sosial atau rakan sebaya.
Selain itu, ia juga diharap dapat membentuk sikap lebih yakin dalam kalangan peserta dengan pilihan diri sendiri tanpa terlalu bergantung kepada penerimaan orang lain. Program Youth Protection Series merupakan salah satu ‘brand’ program Kumpulan Belia Masjid Syababul Iman MSSA, Kampung Sengkurong.
Objektif utama program ini adalah memfokuskan untuk melindungi serta memberi kesedaran kepada anak-anak muda seperti belia remaja tentang permasalahan isu sosial di negara ini serta membimbing bagaimana cara untuk mengatasinya.
Sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2016, program ini telah mengendalikan sebanyak sembilan siri dengan tajuk yang berbeza mengikut keadaan isu semasa.