Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Infografik : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. – Setiap tahun pada 29 September, Negara Brunei Darussalam bersama masyarakat antarabangsa memperingati Hari Jantung Sedunia sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kardiovaskular dan kepentingan menjaga kesihatan jantung.
Sambutan ini turut mengingatkan kita bahawa kesihatan jantung bukan sahaja tanggungjawab individu, malah memerlukan sokongan keluarga, masyarakat, sektor kesihatan serta pendekatan seluruh kerajaan.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Jantung Sedunia pada 29 September 2026.
Tema Hari Jantung Sedunia 2026 jelas Yang Berhormat, ‘Penyakit Jantung Boleh Berlaku Tanpa Disedari : Jangan Terlepas Satu Degupan’ (Heart Disease Can Hide in Plain Sight: Don’t Miss a Beat), membawa mesej bahawa penyakit jantung boleh berkembang tanpa disedari, manakala faktor risikonya pula mungkin tidak diketahui atau tidak dikawal.
“Seseorang mungkin kelihatan sihat dan tidak mengalami sebarang gejala, namun pada masa yang sama mempunyai tekanan darah tinggi, paras kolesterol atau gula dalam darah yang tidak terkawal. Tema ini juga menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan pengesanan awal sebelum keadaan menjadi lebih serius,” ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menekankan, Penyakit kardiovaskular, termasuk penyakit jantung dan strok, kekal menjadi antara punca utama kematian dan ketidakupayaan di Negara Brunei Darussalam.
Menurut Yang Berhormat, keadaan ini berkait rapat dengan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, paras kolesterol yang tinggi, obesiti, penggunaan tembakau dan vape, pemakanan tidak sihat serta kurang melakukan aktiviti fizikal dan sebahagian besar faktor risiko ini boleh dicegah atau dikawal melalui perubahan gaya hidup dan rawatan yang bersesuaian.
“Selama bertahun-tahun, kita telah membangunkan dan mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan klinikal dan bukan klinikal bagi memperkukuh penjagaan kesihatan jantung di Negara Brunei Darussalam.
“Usaha tersebut bukan sahaja tertumpu kepada rawatan tetapi turut merangkumi pengesanan awal, pencegahan dan pengurusan penyakit jantung secara berterusan mengikut piawaian antarabangsa. Ini termasuk memanfaatkan aplikasi BruHealth dan sistem Bru-HIMS untuk memantau dan mengurus faktor risiko kardiovaskular dengan lebih baik,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat menjelaskan, di antara perkembangan utama pada tahun lalu yang membolehkan pesakit mendapat akses kepada penjagaan kardiologi yang berkualiti di Negara Brunei Darussalam ialah pertama, Keupayaan Diagnostik yang Dipertingkatkan: Kemudahan serta teknologi pengimejan dan diagnostik jantung terus diperkasa bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal dan ketepatan diagnosis penyakit jantung.
Tambah Yang Berhormat, usaha ini turut disokong melalui penggunaan Picture Archiving and Communication System (PACS), yang membolehkan imej serta data diagnostik seperti elektrokardiogram (ECG) disimpan secara berpusat serta diakses dengan cepat dan selamat oleh pegawai perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan. Sistem ini bukan sahaja memudahkan perkongsian maklumat klinikal, malah mempercepatkan proses diagnosis, rujukan dan rawatan pesakit.
Pada masa yang sama, jelas Yang Berhormat lagi, perkhidmatan ambulans turut dilengkapi dengan mesin ECG bagi membantu mengenal pastipesakit yang disyaki mengalami serangan jantung, sekali gus membolehkan penilaian awal dan rawatan diberikan dengan lebih segera.
Kedua, tambah Yang Berhormat, Perkembangan Perkhidmatan Makmal Kateter Jantung (Cath Lab) dan Pembedahan Jantung: Perkhidmatan makmal kateterisasi jantung dan pembedahan jantung telah memperluaskan perkhidmatannya bagi membolehkan perlaksanaan lebih banyak lagi prosedur diagnostik dan intervensi yang kompleks seperti angioplasti, Implantasi Injap Aorta Transkatheter (Transcatheter Aortic Valve Implantation) & MitraClip dan Left Ventricular Assist Device Implantation (LVAD).
Ketiga, jelas Yang Berhormat lagi, Pendekatan Berteraskan Data : Kerjasama dengan EVYD Technology Sdn. Bhd. telah memperkukuh keupayaan untuk menjejaki trend penyakit jantung, hasil kesihatan (health outcomes) dan faktor risiko dalam kalangan penduduk negara ini.
Tambah Yang Berhormat, data berkenaan membantu Kementerian Kesihatan merancang kempen kesihatan awam dengan lebih terarah serta menyalurkan sumber kepada bidang yang paling memerlukan.
Yang Berhormat menambah, perkembangan ini bukan sekadar pencapaian teknikal, malah mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan untuk menjadikan kesihatan jantung bagi seluruh lapisan masyarakat sebagai satu keutamaan negara.
“Melalui Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (National Health Screening Programme), seramai 2,849 orang telah menjalani saringan faktor risiko penyakit kardiovaskular bagi tempoh Februari 2019 hingga Disember 2025.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,291 orang mendaftar secara hadir terus (walk-in), manakala 558 orang mendaftar melalui aplikasi BruHealth bagi tempoh Julai 2023 hingga Disember 2025. Jumlah keseluruhan ini mewakili 3.11 peratus daripada individu yang memenuhi kriteria penyertaan.
“Walaupun saringan ini telah membantu mengenal pasti faktor risiko dalam kalangan peserta, kadar penyertaan tersebut menunjukkan bahawa kesedaran dan penglibatan masyarakat masih perlu terus dipertingkatkan agar lebih ramai individu dapat mengetahui tahap risiko masing-masing dan mengambil tindakan awal,” kata Yang Berhormat.
Bagi menjaga kesihatan jantung dengan lebih baik, tambah Yang Berhormat lagi, terdapat beberapa langkah penting yang perlu kita amalkan: i. Ketahui Nombor Kesihatan Awda: Ketahui bacaan tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah awda. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di pusat kesihatan yang berdekatan kerana dengan mengetahui bacaan-bacaan ini, awda dapat memahami dan mengurus risiko kesihatan dengan lebih baik; ii. Amalkan Gaya Hidup Sihat: Setiap pilihan yang sihat membawa manfaat kepada jantung.
Menurut Yang Berhormat lagi, luangkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk melakukan aktiviti fizikal mengikut kemampuan, pilih air kosong berbanding minuman bergula, utamakan makanan segar dan berkhasiat serta elakkan merokok dan penggunaan vape di mana langkah-langkah ini penting untuk membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan kualiti hidup.
Yang Berhormat seterusnya menambah, Kenali Tanda dan Gejala : Jangan abaikan tanda-tanda amaran seperti sakit atau rasa tidak selesa pada dada, sesak nafas, berpeluh secara tiba-tiba, pening atau keletihan luar biasa.
Jika awda atau seseorang di sekeliling awda mengalami gejala tersebut, jelas Yang Berhormat, hubungi Talian Ambulans EMAS 991 dengan segera. Setiap minit amat berharga kerana rawatan awal dapat mengurangkan kerosakan pada otot jantung dan meningkatkan peluang untuk diselamatkan.
Selain itu, tambah Yang Berhormat, pendekatan pencegahan hendaklah terus diperkukuhkan lagi melalui kerjasama strategik dengan sekolah, tempat kerja dan komuniti bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan, serta memperkasa masyarakat untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan jantung.
Pada masa yang sama, jelas Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan integrasi dan kesinambungan penjagaan merentas perkhidmatan kesihatan asasi, komuniti, kecemasan, kardiologi dan pemulihan jantung bagi memastikan setiap pesakit menerima penjagaan yang menyeluruh dan berterusan.
“Usaha ini turut disokong melalui pengukuhan dasar dan promosi kesihatan bagi mengurangkan faktor risiko penyakit tidak berjangkit serta memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan mereka pada setiap peringkat kehidupan.
“Pada Hari Jantung Sedunia ini, marilah kita menjadikan kesihatan jantung sebagai satu keutamaan. Ketahui risiko kita, jalani pemeriksaan kesihatan, amalkan gaya hidup sihat dan bertindak segera apabila terdapat tanda-tanda amaran.
“Setiap langkah yang diambil hari ini dapat melindungi bukan sahaja diri kita, tetapi juga keluarga dan orang yang kita sayangi. Bersama-sama, marilah kita membina Negara Brunei Darussalam yang lebih sihat dan berdaya tahan, di mana setiap individu berpeluang menikmati kehidupan yang lebih panjang, aktif dan berkualiti,” ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.