Mengukuhkan peluang kerjasama menerusi pertemuan dua hala

26 Sep 2026 - 5:59am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT,  Khamis, 24 September. -  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam (NBD) berangkat mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Shirley Ayorkor Botchwey.

Pada pertemuan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen menegaskan semula komitmen NBD untuk bekerjasama dengan Negara-negara Ahli Komanwel serta mengalu-alukan kerjasama yang berterusan dengan Sekretariat Komanwel. Kedua-dua belah pihak juga membincangkan mengenai persediaan Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) pada November 2026.

Duli Yang Teramat Mulia juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Sayyid Badr bin Hamad bin Hamood Albusaidi. Kedua-dua belah pihak menegaskan semula hubungan kerjasama dua hala yang erat dan sekian lama terjalin di antara kedua-dua buah negara dan mengalu-alukan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama. Kedua-dua belah pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

Pada sebelah petang, DYTM turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Sesi Ke-81, Tuan Yang Terutama Dr. Khalilur Rahman; dan menyatakan komitmen NBD untuk bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama sepanjang tempoh menjadi presiden bagi sesi kali ini. Kedua-dua belah pihak juga membincangkan usaha - usaha pembaharuan PBB.

DYTM kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Hakan Fidan. Kedua-dua belah pihak mengalu-alukan perkembangan berterusan dalam hubungan kerjasama dua hala dan meneroka bidang - bidang kerjasama yang berpotensi, termasuk pertahanan, keselamatan makanan dan tenaga. Kedua-dua belah pihak juga turut bertukar - tukar pandangan mengenai hubungan ASEAN-Türkiye serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

DYTM juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Seyyed Abbas Araghchi. Kedua-dua belah pihak mengalu-alukan hubungan kerjasama dua hala yang mesra di antara kedua-dua buah negara dan membincangkan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama. Kedua-dua belah pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

DYTM seterusnya mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Sergey Lavrov. Kedua-dua belah pihak mengalu-alukan Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Hubungan Diplomatik di antara NBD dan Persekutuan Rusia pada tahun ini, serta peluang bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala. Kedua-dua belah pihak juga membincangkan hubungan ASEAN-Rusia dan menegaskan semula kepentingan ASEAN Centrality, serta turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa.