Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 30 Oktober. - Budaya istiqamah dalam menunaikan ibadah serta menyertai aktiviti keagamaan mencerminkan komitmen para jemaah dalam menghidupkan dan menyemarakkan masjid.
Pemangku Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail berkata, usaha mengimarahkan masjid memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak khususnya jemaah yang sentiasa menghidupkan suasana masjid dengan pelbagai amalan dan ibadah.
Menurutnya lagi, amalan mengimarahkan masjid bukan sahaja ketika menunaikan sembahyang fardu berjemaah malah turut merangkumi penglibatan dalam majlis-majlis ilmu, membaca Al-Quran dan aktiviti-aktiviti keagamaan yang dapat memperkukuh keimanan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan para jemaah dan masyarakat.
“Semangat dan kesungguhan jemaah untuk mengimarahkan masjid akan menjadi contoh kepada generasi muda untuk turut mencintai serta mendekatkan diri kepada masjid,” ujarnya pada Majlis Membaca Surah Al-Kahfi beramai-ramai selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid Kampung Sungai Besar, awal pagi ini.
Majlis berkenaan turut disertai oleh Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram, yang turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen ahli jawatankuasa (AJK) takmir dan jemaah dalam memastikan masjid terus aktif dengan kegiatan keagamaan.
Turut hadir, Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit; serta Penasihat II, AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Selawat beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail yang juga membacakan Doa Peliharakan Sultan, Raja Isteri dan Negara Brunei Darussalam.
Surah Al-Kahfi merupakan surah ke-18 di dalam kitab Al-Quran dan sangat digalakkan untuk dibaca bagi merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda di samping sebagai benteng fitnah di dunia dan di akhirat.