Memperkasa belia dengan kemahiran, nilai profesionalisme

31 Okt 2026 - 7:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Kemajuan Insan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 30 Oktober. – Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) baru-baru ini telah mengendalikan program ‘Youth Starter Pack: Work Ready, People Ready’ pada 23 Oktober 2026 yang bertujuan untuk melengkapkan golongan belia dengan kemahiran persediaan kerjaya, nilai profesionalisme serta pemahaman mengenai komunikasi berhemah dan hubungan yang sihat di tempat kerja.

Program berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden KESAN, Awang Md. Haziq Hisyam bin Md. Zaki; dan menampilkan dua penceramah jemputan, iaitu Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Battle Pro MMS, Penghulu Mukim Berakas ‘B’ serta Pengarah Urusan Balurih Travel Sdn. Bhd.; dan Dayang Alai Syafina @ Penny Pong binti Muhd. Haafizh Shah, selaku Pengasas Bersama dan Ketua Demi Gadis serta Pengarah Negara AYAN Brunei Darussalam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden KESAN mengingatkan para peserta bahawa persediaan menghadapi masa hadapan bukan sekadar bergantung kepada kelayakan akademik. Sebaliknya, menggalakkan golongan belia bukan sahaja untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran, malah turut membina sahsiah dan nilai murni agar menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Beliau turut menekankan bahawa dunia masa kini memerlukan lebih daripada sekadar sijil, termasuk keupayaan untuk berempati, bekerjasama dalam pasukan, berfikir secara kritis serta mencari penyelesaian yang bersesuaian terhadap cabaran masyarakat.

Program berkenaan merangkumi dua sesi interaktif yang mengetengahkan aspek berbeza dalam persediaan diri dan kerjaya. Sesi pertama, ‘Work in Progress : Entrepreneurship & Career Readiness’, yang dikendalikan oleh Awang Haji Syed Mohd. Yassin dengan fokus ‘Beyond Qualifications’, membincangkan persediaan kerjaya dan keusahawanan.

Sesi berkenaan menekankan kepentingan membentuk pemikiran dan sikap yang bersesuaian untuk menghadapi dunia pekerjaan, dengan menggariskan bahawa kelayakan akademik mungkin membuka peluang, namun sahsiah, sikap dan tindakan seseorang memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan dan peluangnya pada masa hadapan.

Manakala sesi kedua, ‘Respect Matters : Healthy Relationships, Boundaries & Leadership’, yang dikendalikan oleh Dayang Alai Syafina @ Penny Pong pula memberi tumpuan kepada aspek empati, komunikasi berhemah, penetapan batas peribadi serta kepentingan mewujudkan persekitaran yang inklusif dan saling menyokong.

Para peserta turut digalakkan untuk membuat refleksi terhadap cara mereka berinteraksi dengan orang lain, mengurus hubungan serta memainkan peranan dalam membentuk persekitaran yang lebih sihat, sama ada dalam kehidupan peribadi mahupun profesional.

Maklum balas daripada para peserta menunjukkan kesan positif terhadap pemahaman mereka mengenai nilai peribadi, etika kerja serta kepentingan mengenal pasti kekuatan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Program berkenaan juga menyediakan ruang untuk para peserta membuat refleksi kendiri, khususnya dalam memahami tanggungjawab mereka sebagai pemimpin belia dan mengenal pasti cara untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Program ‘Youth Starter Pack : Work Ready, People Ready’ merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KESAN dalam melahirkan golongan belia yang mandiri, berwawasan dan berakhlak, serta dilengkapi dengan kemahiran untuk menghadapi dunia pekerjaan di samping memiliki sahsiah dan nilai murni untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat, selaras dengan misi organisasi dan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Melalui inisiatif seumpama berkenaan, KESAN akan terus komited dalam memperkasa golongan belia dengan menyediakan peluang untuk belajar, berkembang dan membina kemahiran serta sahsiah yang diperlukan bagi berkhidmat kepada masyarakat dan menyumbang kepada masa hadapan negara.