IBTE-JPMC meterai MoU bidang penjagaan kesihatan, sains gunaan

31 Okt 2026 - 7:37am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

JERUDONG, Jumaat, 30 Oktober. - Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah memeterai kerjasama strategik melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang penjagaan kesihatan dan sains gunaan di Negara Brunei Darussalam (NBD).

 Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang juga merupakan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.

 Kerjasama berkenaan bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pendidikan teknikal dan vokasional dengan amalan industri melalui penyediaan peluang pembelajaran praktikal kepada para pelajar, pembangunan kurikulum serta perkongsian ilmu dan kepakaran antara tenaga pendidik dengan para profesional penjagaan kesihatan.

 Di bawah MoU berkenaan, JPMC akan menyokong pembelajaran para pelajar IBTE melalui penempatan klinikal, latihan industri, pembelajaran berasaskan tempat kerja, pemerhatian klinikal serta pembangunan kemahiran praktikal.

 Kerjasama berkenaan turut merangkumi semakan kurikulum, kuliah jemputan, demonstrasi klinikal, bengkel profesional serta peluang bagi tenaga pengajar IBTE untuk memperoleh pengalaman industri dan meningkatkan kompetensi profesional mereka. 

Selain itu, kerjasama ini akan memberi manfaat kepada para pelajar yang mengikuti program sedia ada di IBTE, termasuk HNTec in Laboratory Science, HNTec in Pharmacy Technician, NTec in Assistant Nurse (General Nursing) dan NTec in Assistant Nurse (Dental). 

Melalui pendedahan kepada persekitaran penjagaan kesihatan sebenar serta bimbingan daripada para profesional kesihatan yang berpengalaman, para pelajar berpeluang memperkukuh kemahiran teknikal, etika profesional dan pemahaman mengenai amalan penjagaan kesihatan secara berpasukan. 

IBTE memainkan peranan penting dalam menyediakan pelajar untuk memasuki alam pekerjaan melalui penawaran program TVET yang bersesuaian dengan keperluan industri, dengan memberikan penekanan kepada latihan amali dan pembelajaran secara praktikal. 

Melalui kerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan seperti JPMC, IBTE dapat membantu mempertingkatkan kemahiran teknikal dan kompetensi profesional pelajar bagi memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran dalam sektor kesihatan di NBD. 

MoU berkenaan turut menyediakan kerangka bagi menyokong perancangan IBTE untuk memperkenalkan program baharu dalam bidang penjagaan kesihatan dan sains gunaan mulai 2028. Antara bentuk sokongan yang berpotensi diberikan oleh JPMC termasuk perundingan dan pengesahan program, pemetaan kompetensi klinikal, penyediaan tempat latihan serta bimbingan klinikal, tertakluk kepada perancangan dan persetujuan lanjut antara kedua-dua belah pihak. 

Selain latihan pelajar, kerjasama berkenaan turut membuka peluang dalam bidang penyelidikan gunaan, inovasi penjagaan kesihatan, pembangunan profesional berterusan dan laluan kerjaya graduan.

 Aktiviti bersama yang berpotensi dilaksanakan termasuk bengkel kemahiran klinikal dan teknologi makmal, seminar amalan farmasi, simposium kejururawatan dan kesihatan bersekutu, ceramah kerjaya serta sesi pengambilan pekerja.

 Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia JPMC, Awang Mohammad Salehin bin Haji Basir menyatakan bahawa melalui MoU berkenaan, JPMC memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan dengan menyediakan platform bagi para profesional JPMC yang berpengalaman untuk berkongsi kepakaran sebagai pendidik, pembimbing dan contoh teladan.

 Melalui pengukuhan hubungan antara pendidikan dengan industri, IBTE dan JPMC berhasrat untuk menyokong pembangunan bakat tempatan, meningkatkan kompetensi profesional serta menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja penjagaan kesihatan yang berkemahiran di NBD.

Kerjasama berkenaan turut menyokong aspirasi JPMC untuk memperkukuh keupayaannya sebagai pusat latihan penjagaan kesihatan serta menyumbang kepada pembangunan sektor penjagaan kesihatan negara dalam jangka panjang, termasuk aspirasi NBD dalam membangunkan pelancongan perubatan.