Memupuk, meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah

28 Sep 2026 - 6:42am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. – Seramai 200 orang telah menghadiri Majlis Mawaddah Ar-Razaq 2026 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) di Jalan Pengiran Babu Raja, baru-baru ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Ar-Razaq Kifayah Management dengan kerjasama Kumpulan Babussalam BN, serta mendapat sokongan Jabatan Hal Ehwal Masjid selaku rakan strategik.

Acara berkenaan turut dijayakan menerusi sokongan padu daripada rakan-rakan penaja termasuk Mashhor Group of Companies, Bank Usahawan Berhad, Cataleya Trading Company, Beverages by Wafi, dan Iris Capture.

Acara tersebut merupakan majlis pembuka tirai bagi melagangkan perangkaian acara Majlis Mawaddah Ar-Razaq 2026.

Program yang berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 9.00 malam berkenaan bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan lagi rasa kecintaan umat Islam terhadap Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, sebelum diteruskan dengan alunan bacaan Mawlid dan Qasidah yang dipimpin oleh Kumpulan Babussalam BN.

Bagi menyempurnakan lagi majlis, para hadirin turut disajikan dengan ceramah Tazkirah Khas yang disampaikan oleh Dai'e Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Hezqyl bin Haji Hambali.

Menerusi penganjuran majlis berkenaan, pihak penganjur berharap agar Majlis Mawaddah Ar-Razaq dapat terus menjadi wadah utama dalam menghimpunkan masyarakat Islam di negara ini untuk sama-sama mendalami ilmu, memperingati sirah, serta menyemarakkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui keindahan alunan qasidah dan majlis ilmu.