Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Ahad, 15 November. – Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan Menteri telah mengadakan Lawatan Muhibah ke beberapa buah premis perusahaan tempatan di Daerah Tutong, hari ini.
Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat operasi, pencapaian serta cabaran yang dihadapi oleh para pengusaha tempatan, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), di samping memberi sokongan moral terhadap usaha mereka dalam menjana ekonomi negara.
Antara tempat yang dilawati ialah Perusahaan Seri Melati di Kampung Kuala Tutong, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan pembinaan dan pembaikan fiberglass. Rombongan juga berkesempatan untuk menyusuri Sungai Tutong.
Rombongan seterusnya meneruskan lawatan ke Galeri Lakaba Jaya di Kampung Sengkarai, Daerah Tutong bagi menyaksikan hasil seni kraf tangan termasuk pembuatan homemade coklat.
Lawatan diteruskan lagi ke Angkasa Oud Agarwood Company, pengusaha tempatan yang menghasilkan minyak oud, minyak wangi dan produk berasaskan gaharu asli Negara Brunei Darussalam yang beroperasi di Kampung Tanjong Maya, Tutong.
Kemudian lawatan diteruskan ke Eco Ponies Garden sebuah ladang pertanian komuniti, inap desa (farm stay) dan pusat pelancongan eko yang terletak di Kampung Lamunin, Daerah Tutong yang berkonsepkan pelancongan lestari berasaskan komuniti dan pemuliharaan budaya tempatan.
Rombongan juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi memasak dan perkongsian budaya makanan tradisi serta persembahan Adat Basuh Kaki Puak Tutong oleh Tautani.bn.
Sepanjang lawatan berkenaan, rombongan telah diberikan taklimat ringkas oleh para pengusaha tempatan mengenai latar belakang perniagaan, inovasi produk serta perancangan masa hadapan untuk menembusi pasaran yang lebih luas termasuk pasaran serantau.
Lawatan seumpama tersebut diharap dapat memperkukuh silaturahim serta menyuntik semangat kepada para pengusaha tempatan untuk terus berdaya saing, kreatif dan menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi NBD selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Rombongan Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan Menteri diiringi oleh isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong dan juga isteri Penghulu-penghulu Mukim Daerah Tutong.