Memperkukuh penggunaan, integrasi data yang lebih komprehensif

12 Og 2026 - 8:02am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha berkata pada dasarnya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) setuju bahawa pengukuran keupayaan dan kesejahteraan masyarakat berasaskan data merupakan elemen penting dalam memastikan dasar dan program sosial sentiasa relevan, bersasar dan memberi impak.

Walau bagaimanapun tambah Yang Berhormat, pendekatan kementerian pada masa ini adalah untuk meneliti dan memanfaatkan indeks data dan indikator yang sedia ada yang relevan sebagai rujukan untuk diguna pakai serta menumpukan kepada penyelesaian isu-isu keutamaan tanpa perlu membangunkan satu indeks kebangsaan yang berasingan.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat mengongsikan setakat ini, kerajaan tidak menggunakan satu Indeks Keupayaan Masyarakat yakni Community Capability Index yang tunggal.

Sebaliknya, mengguna pakai beberapa sistem pangkalan data dan indikator mengikut bidang serta fungsi kementerian dan agensi masing-masing. Pendekatan ini membolehkan setiap dimensi kesejahteraan kepada masyarakat dinilai secara lebih mendalam dan berdasarkan kepakaran sektor masing-masing.

“Pihak kementerian dalam Kaji Selidik Belia Kebangsaan ada menggunakan kaedah indeks yang menggabungkan pelbagai titik data untuk menjadi satu nombor komposit atau rujukan semakan untuk menunjukkan trend umum Indeks Pembangunan Belia yang merentasi lapan domain utama iaitu peluang pekerjaan, isu sosial, kesihatan, pembangunan diri, potensi diri, pengintegrasian masyarakat, pengintegrasian politik dan aktiviti riadah,” ujar Yang Berhormat semasa menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong mengenai Indeks Keupayaan Masyarakat yakni Community Capability Index pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Dari perspektif sektor kemasyarakatan, terang Yang Berhormat, antara instrumen utama yang digunakan ialah Sistem Kebajikan Negara (SKN). SKN merupakan platform pengurusan maklumat penerima bantuan kebajikan yang mengumpul data ukuran sebenar sosioekonomi isi rumah termasuk profil pendidikan, pekerjaan, pendapatan, jenis kediaman, akses kepada pengangkutan serta faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesejahteraan mereka.

Kongsi Yang Berhormat, data daripada SKN kemudiannya dianalisis bagi menghasilkan ‘welfare mapping’ yang membantu mengenal pasti tahap kerentanan taburan penerima bantuan mengikut mukim dan kampung, jurang intervensi serta keperluan sokongan yang bersesuaian. Analisis ini menjadi asas kepada perancangan Program Penyelarasan Intervensi Rentas Agensi dan penggubalan dasar sosial yang lebih berasaskan bukti yakni ‘evidence-based policy making’.

Selain itu tambah Yang Berhormat, aspek pembangunan masyarakat turut diukur melalui pelbagai indikator lain di bawah program dan inisiatif kementerian termasuk penyertaan belia dan kesukarelawanan, pembangunan kepimpinan komuniti, pengukuhan institusi keluarga serta tahap penyertaan masyarakat dalam program-program pembangunan komuniti. Kesemua indikator ini saling melengkapi dalam memberikan gambaran mengenai tahap keupayaan dan daya tahan masyarakat.

“Pendekatan kerajaan pada masa ini adalah untuk terus memperkukuh penggunaan dan integrasi data merentas kementerian dan agensi supaya setiap keputusan dasar dibuat berdasarkan analisis yang lebih komprehensif.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengenal pasti keutamaan intervensi dan pengagihan sumber secara lebih bersasar malah membolehkan keberkesanan dasar dinilai secara lebih objektif dan berterusan.

“Sehubungan dengan itu, kementerian akan terus mengikuti perkembangan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa dalam bidang pengukuran kesejahteraan masyarakat. Sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan, kerajaan sentiasa terbuka untuk meneliti pendekatan atau instrumen baharu yang dapat melengkapkan sistem yang sedia ada dan terus memperkukuh perancangan pembangunan sosial negara,” jelas Yang Berhormat.