Memperkukuh kerjasama dua hala dalam keselamatan, penguatkuasaan undang-undang

2 Okt 2026 - 8:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri

HA NOI, REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Khamis, 1 Oktober. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Persidangan ASEAN Law Enforcement High-Level Conference on Cooperation in Combatting Criminal Fugitives pada 30 September 2026 di Ha Noi, Republik Sosialis Viet Nam.

Persidangan dianjurkan oleh Kementerian Keselamatan Awam Republik Sosialis Viet Nam bertemakan ‘Enhancing Regional Cooperation for a Rule-of Law and Crime-free ASEAN’ dan telah dirasmikan oleh Menteri Keselamatan Awam Republik Sosialis Viet Nam, Jeneral Lương Tam Quang.

Persidangan ini diadakan sebagai susulan daripada ASEAN Leaders’ Declaration on Enhancing Cooperation in Locating and Arresting Criminal Fugitives, yang diterajui oleh Republik Sosialis Viet Nam dan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Oktober 2025.

Persidangan ini juga telah menghimpunkan para pemimpin agensi penguatkuasaan undang-undang dari Negara-negara Anggota ASEAN serta wakil-wakil Sekretariat ASEAN bagi mengesahkan Joint Action Plan on Enhancing Cooperation in Combatting Criminal Fugitives dan seterusnya persetujuan bagi Kenyataan Bersama (Joint Statement).

Di dalam kenyataan, Yang Berhormat menekankan bahawa penjenayah yang melarikan diri pada masa kini semakin mudah bergerak dan mahir menggunakan teknologi digital.

Yang Berhormat turut mengongsikan beberapa kes yang menunjukkan kepentingan tindakan pantas, persediaan awal dan kerjasama rapat di antara agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di rantau ini.

Di antara lain, Yang Berhormat telah mencadangkan beberapa keutamaan kerjasama serantau, termasuk penetapan pegawai penghubung kebangsaan yang dapat dihubungi pada bila-bila masa, perluasan akses pangkalan data di pusat-pusat kawalan sempadan dan pembangunan templat bersama bagi permohonan segera.

Semasa persidangan tersebut, Yang Berhormat turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Keselamatan Awam Republik Sosialis Viet Nam, Jeneral Lương Tam Quang, bagi membincangkan kerjasama dalam bidang-bidang keselamatan yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara.

Dalam pertemuan dua hala yang berasingan, Yang Berhormat juga turut bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Sar Sokha.

Kedua-dua menteri telah membincangkan usaha-usaha bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, termasuk memerangi penipuan dalam talian (online scams) dan jenayah siber, berlandaskan hubungan baik dan mesra yang telah lama terjalin di antara NBD dan Kerajaan Kemboja.

Semua ketua delegasi juga turut berpeluang untuk mengadakan kunjungan hormat bersama Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Yang Berhormat Phạm Minh Chính sempena persidangan tersebut.

Delegasi turut disertai oleh Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.