Memperkasa infrastruktur mampan, memacu kesalinghubungan, mempercepatkan transformasi digital

2 Okt 2026 - 7:13am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan

DOHA, QATAR, Khamis, 1 Oktober. - Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Alternat Gabenur mewakili NBD di Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) baru-baru ini telah menghadiri Mesyuarat Tahunan Lembaga Gabenur-Gabenur AIIB Ke-11 yang telah diadakan pada 28 hingga 29 September 2026 di Doha, Qatar.

Dengan tema 'Tomorrow's Infrastructure: Impact and Innovation', mesyuarat tahunan berkenaan telah menandakan bermulanya dekad kedua operasi AIIB serta memberi peluang kepada negara-negara anggota untuk bertukar pandangan mengenai hala tuju strategik AIIB, termasuk dalam meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur mampan, memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan, mobilisasi modal swasta serta mempercepatkan transformasi digital.

Dalam ucapan pembukaannya, Presiden AIIB, Puan Yang Terutama Zou Jiayi, telah menggariskan keutamaan bank bagi fasa pertumbuhan seterusnya, dengan menekankan bahawa pembangunan infrastruktur terus memainkan peranan penting dalam mendukung pembangunan, memperkukuh daya tahan serta membuka peluang dalam suasana global yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Puan Yang Terutama Zou Jiayi turut menekankan kepentingan kerjasama serta pendekatan pelbagai hala dalam menangani keperluan infrastruktur dan seterusnya memajukan pembangunan mampan di rantau Asia dan sekitarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor AIIB dan Menteri Kewangan Qatar, Yang Berhormat Ali bin Ahmed Al-Kuwari, telah menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan, dan Yang Berhormat mengetengahkan peranan Negara Qatar sebagai salah sebuah negara pengasas bank sejak 2015 serta menegaskan semula komitmen negara berkenaan dalam terus memajukan kerjasama pelbagai hala.

Semasa Sesi Governors' Business Roundtable of the AIIB Annual Meeting, perbincangan tertumpu kepada meningkatkan impak bank melalui usaha memperluas dan memperkukuh perkhidmatan kepada negara-negara ahli; dan menggalakkan inovasi bagi meningkatkan nilai sepanjang kitaran projek.

Dalam kenyataannya, NBD menyokong hasrat AIIB untuk meningkatkan impaknya sambil mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh serta model perniagaan yang cekap. Sehubungan itu, AIIB disaran untuk terus memperkukuh sokongan di peringkat awal dan bantuan teknikal bagi membantu negara-negara ahli membangunkan projek-projek yang berkualiti dan berdaya maju, khususnya melalui pendekatan yang fleksibel dan disesuaikan dengan keperluan negara-negara ahli yang mempunyai keperluan infrastruktur yang lebih kecil atau khusus.

Seterusnya, menekankan agar AIIB terus memanfaatkan peranan serantau dan pelbagai halanya dalam memajukan kesalinghubungan serta kerjasama serantau melalui pembiayaan bersama dan perkongsian dengan negara-negara ahli, bank-bank pembangunan pelbagai hala, sektor swasta serta rakan-rakan pembangunan yang lain.

Selain itu, menyokong cadangan model terbaharu, sambil menekankan bahawa kejayaannya hendaklah dinilai berdasarkan sumbangannya kepada penyediaan projek yang lebih kukuh, projek-projek yang berdaya maju serta hasil pembangunan yang nyata.

Dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat, NBD berharap untuk terus memperkukuh perkongsian dengan AIIB serta menterjemahkan keutamaan bersama kepada manfaat yang berkekalan bagi rakyat dan rantau ini.

Mesyuarat Tahunan AIIB Ke-12 akan diadakan pada 14 hingga 15 Julai 2027 di Baku, Azerbaijan.