Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16

16 Okt 2026 - 7:05am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

 BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-16, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada petang tadi telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Kubah Makam Diraja berkenaan, Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad.

Turut hadir sama, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta bakal graduan lelaki KUPU SB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin, diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Mohamed Noor bin Haji Ibrahim/Brahim.

Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 akan berlangsung pada Khamis, 22 Oktober 2026 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.