Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Oktober. - Bakeo Energy Services Sdn. Bhd. (Bakeo) hari ini memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan antarabangsa bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pembekalan mineral, kejuruteraan mekanikal dan teknologi vakum, serta perkhidmatan marin dan pemantauan alam sekitar.
Majlis menandatangani MoU berkenaan berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Republik India di Negara Brunei Darussalam (NBD), dan dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke NBD, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani, selaku tetamu kehormat.
Tiga MoU tersebut melibatkan J.K Minerals bagi meneroka kerjasama dalam pembekalan mineral; Vacuum Engineering and Systems (VES) dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan teknologi vakum; serta Tridel Technologies FZCO bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor marin, alam sekitar, pemantauan oseanografi dan meteorologi marin (‘met ocean’), penyelidikan saintifik marin, akuakultur serta kajian biodiversiti.
Kerjasama berkenaan bertujuan menggabungkan kepakaran antarabangsa dengan keupayaan tempatan, di samping membuka peluang kepada pemindahan pengetahuan, pembangunan kemahiran dan pendedahan teknikal kepada tenaga kerja tempatan.
Inisiatif itu juga dihasratkan untuk menyumbang kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; meningkatkan kualiti kehidupan; serta membangunkan ekonomi yang dinamik dan mampan.
Melalui kerjasama tersebut, peluang perniagaan baharu, kepakaran khusus dan penyertaan syarikat tempatan dalam pasaran serantau serta antarabangsa dijangka dapat diteroka, sekali gus menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi dan memperkukuh pertumbuhan sektor swasta.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil-wakil daripada Bakeo, J.K Minerals, VES dan Tridel Technologies FZCO. Acara diteruskan dengan pertukaran dokumen MoU, sesi bergambar rasmi serta penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat.
Bakeo merupakan syarikat kejuruteraan bersepadu yang berpangkalan di NBD, dengan tumpuan kepada sektor tenaga, marin dan infrastruktur. Syarikat berkenaan turut bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi membawa teknologi baharu ke negara ini sambil membangunkan keupayaan tempatan.