Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
TUTONG, Khamis, 15 Oktober. - Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh program pemulihan berasaskan kemahiran dan pembangunan modal insan, Jabatan Penjara melalui Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi telah melaksanakan Projek Penanaman Padi Bukit di Penjara Maraburong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Penjara, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), pegawai-pegawai kanan BIBD, ketua-ketua jabatan, jemputan khas, serta pegawai dan kakitangan di KHEDN.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa III, Awang Mohd. Ramlan bin Haji Md. Jais, diikuti dengan acara penanaman padi bukit oleh tetamu kehormat majlis sebagai simbolik pelaksanaan projek berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh dan selawat oleh Kumpulan Al-Muslihun yang dianggotai oleh penghuni Penjara Maraburong.
Pelaksanaan Projek Penanaman Padi Bukit berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara Jabatan Penjara dan BIBD yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, pendidikan dan pemerkasa kemahiran dalam kalangan penghuni. Kerjasama berkenaan juga mencerminkan komitmen bersama untuk menyediakan peluang pembelajaran yang bermakna serta membantu penghuni membina asas yang lebih kukuh bagi menghadapi kehidupan selepas menjalani tempoh hukuman.
Projek yang dilaksanakan di kawasan seluas satu hektar berkenaan melibatkan seramai 14 penghuni yang sebelum ini turut menyertai Projek Penanaman Padi Hibrid yang diperkenalkan pada September lalu.
Penglibatan berterusan dalam kedua-dua projek berkenaan membolehkan para penghuni memperluas pengetahuan serta memperoleh pengalaman secara langsung dalam pelbagai aspek pertanian, termasuk penyediaan tapak, penanaman, pengurusan tanaman dan penuaian hasil.
Tanaman padi bukit berkenaan dijangka dapat dituai dalam tempoh kira-kira tiga bulan. Sepanjang tempoh berkenaan, para penghuni akan mengikuti latihan amali yang memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran teknikal, di samping memupuk nilai disiplin, tanggungjawab, ketekunan dan semangat kerjasama.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman berkenaan dijangka mampu meningkatkan keyakinan diri serta membentuk sikap positif yang penting dalam proses reintegrasi ke dalam masyarakat.
Selain Projek Penanaman Padi Bukit dan Padi Hibrid, kerjasama antara kedua-dua belah pihak turut merangkumi Program Pendidikan Peringkat ‘O’ Level, latihan vokasional dan teknikal serta Program Green House Fertigasi.
Pendekatan yang menyeluruh berkenaan bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan kesiapsiagaan penghuni untuk menyertai semula masyarakat serta menyumbang secara positif kepada pembangunan negara.
Lebih daripada sekadar aktiviti pertanian, projek berkenaan memperlihatkan bagaimana pembelajaran berasaskan amali dapat dimanfaatkan sebagai medium pemulihan yang berkesan. Melalui penglibatan secara langsung dalam pengurusan tanaman dan pengeluaran hasil, para penghuni berpeluang memperoleh kemahiran yang mempunyai nilai ekonomi dan potensi aplikasi yang luas, termasuk dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja memberikan pendedahan kepada bidang pertanian, malah turut berperanan sebagai platform pembelajaran praktikal yang membantu melengkapkan penghuni dengan kemahiran, nilai dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan mereka selepas pembebasan.
Pada masa yang sama, inisiatif berkenaan turut mendukung usaha negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan dengan menggalakkan aktiviti pertanian dan pengeluaran hasil tempatan. Pendedahan kepada sektor pertanian juga diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai potensi industri berkenaan sebagai salah satu bidang yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Kerjasama antara Jabatan Penjara dan BIBD turut mencerminkan peranan penting sinergi antara sektor awam dan swasta dalam menyokong pembangunan sosial yang mampan. Dengan memberikan penekanan kepada pembangunan potensi individu, pembentukan sahsiah dan penyediaan peluang kedua, usaha seumpama berkenaan membantu memperkukuh matlamat pemulihan dan reintegrasi yang lebih berkesan.
Jabatan Penjara akan terus memperkukuh dan memperluas program pemulihan yang berteraskan pembangunan kemahiran, peningkatan kebolehpasaran serta pembangunan diri penghuni bagi membantu mereka membuat peralihan yang lebih lancar untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, inisiatif berkenaan diharap dapat membentuk individu yang lebih berdaya tahan, berdikari dan yakin untuk membina masa depan yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan Negara Brunei Darussalam.