Masjid Kampung Sungai Hanching anjur Majlis Khatam Al-Quran

16 Nov 2026 - 7:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching

SUNGAI HANCHING, Ahad, 15 November. - Jemaah dan Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Sungai Hanching mengadakan Majlis Khatam Al-Quran selepas tamat pembacaan 30 Juzuk Al-Quran.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga Penaung AJKT Masjid Kampung Sungai Hanching hadir dan menyertai majlis yang berlangsung di masjid berkenaan, di sini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas yang dikepalai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat yang juga membaca Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan, Raja Isteri dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis turut dimeriahkan dengan dikir marhaban oleh AJKT masjid, peserta khatam dan para jemaah masjid. Majlis ini merupakan satu program AJKT masjid yang dihasratkan untuk menyemai kecintaan para jemaah dan ahli tadarus untuk mencintai Al-Quran serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan AJKT Masjid, jemaah dan penduduk kampung.