Majlis konvokesyen raikan 94 graduan Kolej IGS

13 Sep 2026 - 6:39am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Pg. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

KIULAP, Sabtu, 12 September. – Kolej IGS hari ini mengadakan Majlis Konvokesyen Tahunannya di kampus kolej berkenaan di Kiulap bagi meraikan pencapaian akademik seramai 94 orang graduan.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Turut hadir ialah tenaga akademik, ahli keluarga serta para jemputan khas.

Mencerminkan semangat kekeluargaan yang kukuh, majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, bersama isteri yang hadir atas kapasiti peribadi sebagai ibu bapa bagi meraikan kejayaan anak mereka menamatkan pengajian.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para graduan dan ahli-ahli akademik yang kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej IGS, Awang Haji Mahrub bin Awang Haji Murni.

Dalam ucapannya, Awang Haji Mahrub berkata, tema konvokesyen pada tahun ini, 'Memperkasa Ilmu, Inovasi dan Kreativiti: Kepimpinan dalam Membina Negara', amat bertepatan dengan masa kini.

Beliau menjelaskan bahawa tema tersebut menekankan ilmu sebagai asas kepada pemerkasaan diri, manakala inovasi menjadi pencetus kepada penyelesaian baharu dan kepimpinan yang berteraskan prinsip memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Pada majlis tersebut, para graduan menerima sijil menerusi pelbagai program akademik kerjasama bersama institusi-institusi rakan serantau, termasuk Limkokwing University, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Majlis turut mengiktiraf pencapaian akademik cemerlang para graduan menerusi beberapa anugerah, antaranya Anugerah Kecemerlangan Pengiran Setia Jaya, Kepujian Kelas Pertama dan Anugerah Terbaik Fakulti.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil secara rasmi kepada para graduan, persembahan koir, sesi bergambar kenangan serta jamuan bagi meraikan para graduan bersama keluarga masing-masing.