Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Sempena Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-33, Jabatan Perdana Menteri petang tadi mengadakan Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Majlis tersebut adalah khusus bagi paduka ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-33, Tahun 2026.
Mengetuai bacaan tahlil di majlis berkenaan ialah Pegawai Pemantau Zon 5, Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Zulhazmi bin Salleh.
Turut hadir ialah Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-33, Tahun 2026.
Juga hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan.