Oleh : Rohani Haji Abdul HamidBANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 November. - Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap Awang Wardi bin Haji Mohd. Ali, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) atas kesalahan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh manfaat daripada hotel-hotel yang berada di bawah pengawasan kementerian tersebut.
Pembuktian yang dikemukakan semasa perbicaraan menunjukkan bahawa antara bulan Jun 2020 hingga Februari 2021, perayu berulang kali menginap di dua buah hotel tempatan tanpa membuat sebarang pembayaran semasa daftar keluar, dengan mengetepikan prosedur tempahan dan pembayaran yang ditetapkan oleh pihak hotel.
Jumlah bil tertunggak perayu terkumpul sehingga kira-kira BND5,000, yang hanya dibayar selepas siasatan oleh Biro Mencegah Rasuah dimulakan.
Majistret perbicaraan mendapati bahawa sepanjang tempoh hutang tersebut belum dibayar, perayu telah menyalahgunakan kedudukan rasminya untuk memberikan manfaat kepada hotel-hotel berkenaan, termasuk mempercepatkan proses pemeriksaan dan kelulusan serta mendedahkan maklumat sulit kerajaan secara tidak wajar kepada pemilik hotel yang mempunyai kepentingan perniagaan yang berkaitan dengan KSSUP.
Dalam rayuan tersebut, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin mengekalkan sabitan terhadap perayu di bawah Bab 12B Akta Pencegahan Rasuah, setelah mendapati tiada alasan untuk mengubah keputusan yang dibuat oleh Majistret perbicaraan.
Walau bagaimanapun, berhubung dengan tiga pertuduhan yang berkaitan dengan pemindahan wang berjumlah BND9,500 ke dalam akaun bank peribadi perayu daripada seorang vendor yang terlibat dalam festival tahunan KSSUP, pihak mahkamah mendapati bahawa pemindahan wang tersebut mempunyai justifikasi dan diambil kira dengan sewajarnya, dan keterangan yang dikemukakan tidak membuktikan wujudnya salah laku yang disengajakan sehingga membawa kepada penyalahgunaan kepercayaan awam atau mencemarkan nama baik jawatan awam yang disandang oleh perayu.
Sehubungan itu, perayu telah dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut. Walaupun perayu telah dibebaskan daripada pertuduhan tersebut, hukuman keseluruhan terhadap perayu iaitu penjara selama enam tahun enam bulan kekal tidak berubah.
Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli dan Jordan Tiah Teck Chiun telah mengendalikan rayuan tersebut bagi pihak Pendakwa Raya. Perayu telah diwakili oleh Tetuan Yusof Halim & Partners.